Pucuk Hijau - Blog Kedah Agro Holdings

Wacana Isnin - 1hb Februari 2010 - Gossip

February 2nd, 2010 by admin

Seorang staf menghempas-hempas fail dan mencampak dokumen-dokumen di atas mejanya sambil mendengus sesudah menerima arahan dari atasannya. Rakan-rakan sekerja lain memerhati dan mula membuat berbagai tafsiran, anda akan kaget jika mengetahui berbagai tanggapan yang terbit dari sebuah peristiwa ‘komunikasi’ yang sekecil itu. Ada yang menganggap bahawa staf tersebut membenci atasannya, ada yang menganggap staf tersebut benci dengan semua orang sekelilingnya. Mungkin moodnya kurang baik hari itu kerana dia baru berkelahi dengan isterinya atau geram dengan bapa mertuanya yang sering menyindir-nyindir dirinya. Ada pula yang menganggap bahawa staf tersebut sengaja mahu menunjukkan garang dan kasarnya. Samseng lagi gedebeh. Rakan-rakan mungkin menganggap beliau memberikan isyarat ‘jangan main-main dengan aku’. Tafsiran-tafsiran seumpama ini bakal menjadi bahan gosip yang akan memakan waktu berminit-minit atau berjam-jam di pejabat anda. Ada yang mula berbisik-bisik, berkumpul dan bersembang mengenainya ada yang mula mengirim sms atau berchatting di internet dari sebuah meja ke sebuah meja yang lain. Dari sebuah komunikasi dan monolog tanpa kata oleh seorang teman di pejabat akan terbentuklah sebuah citra yang tidak enak mengenai seseorang. Maka proses labeling pun berlaku ke atas staf tadi. Dia akan di anggap si baran, punya angin satu badan, ponggah, tidak sesuai dibuat kawan. Seorang yang suka tunjuk terror, seorang pemberontak (kalau atasannya dibantah, bagaimana dengan kawan-kawan yang lain), boleh memalukan kita di depan khalayak. Tidak cukup gosip secara mulut dan elektronik, beredar keseluruh pejabat dari satu jabatan ke jabatan yang lain malah akan ada yang akan bergosip keluar pejabat dari sebuah telefon genggam ke telefon lain dari sebuah laptop ke sebuah black berry yang lain. Ini zaman digital – zaman siber semua boleh tersebar dalam beberapa detik sahaja.

Bayangkan berapa ramai orang bakal terlibat dengan gosip ini yang bergerak pantas, marak bagaikan api yang menyala di tanah lapang berumput kering bila mana ada pula di kalangan sang penggosip kelas berat yang mampu mendramatikkannya ke satu peringkat yang lebih controversial lagi. Ada orang punya kebolehan untuk mengadu domba memecahbelahkan kesatuan, menggerhanakan persahabatan dan kasih sayang. Kebolehan ini barangkali telah dipupuk sejak kecil, kadang-kadang ia datang dari seorang yang berasal dari keluarga yang pecah (broken family) yang menjadikannya seorang yang sangat possessive sentiasa merasa kehilangan dan mahu memiliki semuanya dalam setiap kesempatan yang ada. Malah, kalau tidak mendapatkan semuanya dia sanggup saja menghancurkan segalanya. Sang penggosip kelas berat ini sebenarnya kesunyian sepi dan memerlukan perhatian. Dia sepatutnya didekati, disayangi dan dijauhi dari tabiat bergosip yang kadang-kadang bisa menimbulkan kegawatan, ambruk, geger dan selanjutnya membenihi office politics yang tidak sihat.

Ada orang menyebut office politics seperti berikut:

“Is the use of one’s individual or assigned power within an employing organization for the purpose of obtaining advantages beyond one’s legitimate authority. Those advantages may include access to tangible assets, or intangible benefits such as status or pseudo-authority that influences the behavior of others. Both individuals and groups may engage in Office Politics.

Office politics differs from office gossip in that people participating in office politics do so with the objective gaining advantage, whereas gossip is often used by an individual to place themselves at a point where they can control the flow of information and therefore gain maximum advantage.

Office politics also refers to the way co-workers act among each other. It can be either positive or negative.

Office politics adalah sesuatu yang tidak terelakkan ia akan wujud di mana-mana dalam sebuah organisasi yang kecil, sederhana mahupun besar. Penulis sendiri pernah menjadi pemimpin utama sebuah institusi pendidikan di sebuah bandar di negara ini dari tahun 1975 sehingga 1980. Di situ penulis telah mengabdikan diri untuk menggerakkan sebuah sekolah swasta yang memberikan peluang kedua bagi pelajar-pelajar yang keciciran dan bermasalah. Dengan sepasukan guru-guru yang berdedikasi kami berhasil membesarkan sebuah institut pengajian swasta yang pada mulanya hanya disertai oleh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun, akhirnya meningkat menjadi sebuah institut pembelajaran swasta yang mempunyai lebih 1000 orang pelajar di tiga sesi pagi, petang dan malam. Di sebuah organisasi yang semurni itu pun tidak dapat membebaskan diri dari office politics namun ia tidak pernah sampai memecahbelahkan kami. Para guru yang punya latar pengajian di institusi yang berlainan ITM, UM, UKM, UPM, dan UMPAD Bandung tidak dapat mengelak diri dari group feeling masing-masing. Selain daripada pemimpin-pemimpin formal wujud pemimpin-pemimpin tidak rasmi yang juga jadi opinion leader. Mantan pimpinan dan guru-guru, intitusi tersebut kini menduduki posisi-posisi yang strategik dalam negara. Ramai yang sudah bersara dari perkhidmatan di berbagai jabatan dalam perkhidmatan awam dan ada di antara mereka yang sudah pun kembali menemui Sang Pencipta (Allah hummagh fir lahum warhamhum wa’a fihi wa’ fu’an hum).

Penulis pernah juga menjadi ketua eksekutif di sebuah badan nasional yang mempunyai anggota lebih dari seratus ribu orang sebagai setiausaha agung sepenuh masa di organisasi tersebut. Penulis mengurus dan menyelia secara langsung dan tidak langsung ke atas hampir 200 orang pekerja sebuah organisasi kebangsaan yang punya jaringan keantarabangsaan. Di situ penulis telah mengabdi diri sebagai seorang aktivis sepenuh masa di sebuah badan sukarela, khidmat sosial yang menggembleng ramai tenaga muda Islam di negara ini. Dalam sebuah organisasi yang disertai oleh orang-orang baik yang sentiasa menekan proses tarbiyah dan ta’adib, kami telah memilih sejumlah pemimpin, pengurus, pekerja yang tentunya menepati kehendak dan cirri-ciri organisasi sebegini. Para petugas sering mangadakan pertemuan menyertai halaqah-halaqah, perjumpaan-perjumpaan usrah, menyertai retreat tahunan, menghadiri seminar-seminar pendidikan, lawatan bersama, mukhaiyyam dengan suasana ukhuwah yang dapat dirasakan. Namun sebagai sebuah organisasi yang anggotanya tiada seorang pun malaikat tetapi semuanya manusia belaka, kita juga menghadapi gejala sama. Di pejabat pusat mahupun di pejabat-pejabat negeri dan wilayah tidak pernah terlepas dari gosip dan office politics. Walaubagaimanapun kami tetap diikat oleh matlamat da’awah yang sama dan perpecahan akibat salahfahaman, gosip dan office politics hilang ditelan masa. Kemesraan dan persahabatan kekal utuh.

Penulis sendiri pernah berdepan dengan satu krisis yang berpunca daripada beberapa orang dari sebuah jabatan popular yang mulai mewujudkan semacam organisasi dalam organisasi. Gosip dan office politics mulai menjalar dan akhirnya untuk membendung dari keadaan yang lebih buruk penulis telah mengambil langkah-langkah remedi yang tegas termasuk tindakan disiplin memberhentikan beberapa orang pekerja dan memutuskan sebuah jaringan yang bakal menggugat kestabilan dan kelangsungan organisasi. Penulis hingga ke hari ini sedih mengenangkan peristiwa-peristiwa pahit yang terpaksa dilalui. Namun semua mereka yang terlibat dalam peristiwa-peristiwa tahun 80an itu tetap menjadi saudara dan sahabat walaupun ia tidak akan sama seperti masa awal persahabatan kami dahulunya.

Di tahun 90an penulis ditakdirkan menjadi ketua eksekutif sebuah yayasan yang ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia yang para pekerjanya terdiri dari berbilang kaum. Jawatan CEO di yayasan tersebut di ambil alih penulis dari seorang berbangsa Tionghwa, mantan seorang Ketua Pengarang sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris. Bahkan, apabila penulis meletakkan jawatan dari organisasi tersebut bagi membolehkan penulis berpartisipasi dalam pentas politik nasional (dimana penulis sering mengaggap diri sebagai a reluctant politician) tempat sebagai CEO di yayasan tersebut digantikan oleh seorang mantan pegawai tinggi kerajaan berketurunan India. Dalam organisasi yang sebegitu, office politicsnya lebih hebat lagi, kelainan kepercayaan dan ideologi menjadikan tidak mudah menangani masalah-masalah yang wujud di sana. Salah seorang Pembantu Projek adalah seorang wanita muda Tionghwa yang tunanetra (OKU Penglihatan), seorang Pengurus Projek keturunan India, seorang biarawati (nun), seorang Pengurus Projek lain seorang wanita Tionghwa graduan KTAR, beberapa orang gadis dari Johor dan anak saudara seorang M.B. dan sejumlah pekerja-pekerja Melayu lain. Office politics yang melibatkan kepelbagaian kepercayaan dan latar belakang adalah rumit tetapi ia tetap dapat ditangani sekiranya kita mengambil langkah-langkah positif dan profesional.

Apabila penulis diamanahkan menjadi ketua eksekutif di sebuah parti politik nasional mulai 1988 sekali lagi sebagai setiausaha agung sepenuh masa penulis telah mendapat pengalaman office politics yang luar biasa. Maklumlah organisasi yang diurus itu disertai oleh manusia-manusia politik yang kerenahnya bermacam-macam. Gosip, tohmah, fitnah jadi cara hidup orang-orang politik yang tidak beretika. Office politics disebuah parti berbilang bangsa, agama tentu lebih rencam dan rumit. Penulis amat bersyukur kerana ditakdirkan berada di sana untuk beberapa tahun menimba pengalaman mahal: pahit, getir memimpin dan mengurus manusia-manusia politik yang berbagai ragam itu. Walaupun organisasi itu ditinggal oleh penulis kemudianya namun ramai dari sahabat-sahabat yang masih di sana dan saya tetap hormat dan mengasihi mereka. Bagi golongan yang memusuhi saya jauhi – itu saja.

Office politics kalau tidak ditangani dengan betul boleh membawa kepada keadaan berpuak-puak (cliquish) yang membawa unsur-unsur negatif sekiranya kepuakan itu mewujudkan sikap diskriminasi. Tiada siapa yang dapat menghalang seseorang untuk punya positive group feeling yang berasaskan kepada latar belakang daerah, pengajian yang sama. Seseorang itu juga bebas untuk lebih akrab dengan seorang yang lain tetapi ia jangan sampai menyingkir atau mengenepikan yang lain, sentiasa berbaik sangka (husnul zan) kepada sesama teman sejawat, jangan banyak berahsia, jangan terlalu mudah menerima sebarang berita kerana kadang-kadang ia hanya tafsiran dan sama sekali tidak benar, selalu bersikap positif dan menerima seseorang itu seadanya. Jangan berhenti berkomunikasi, terus berkomunikasi kerana sebagai seorang pelajar komunikasi bagi penulis perkara yang paling payah dalam hidup ini ialah berkomunikasi dengan orang lain. Komunikasi selalu mudah disalah tanggapi. Kita bermaksud baik tetapi selalunya dianggap buruk. Kita maksudkan yang lain tetapi boleh ditanggapi sebagai suatu yang lain pula.

Justeru itu, perbanyakkan komunikasi yang berkesan tapi bukan gosip yang keterlaluan atau boleh menyentuh perasaan atau melukakan hati seorang teman apatah lagi rakan sejawatan yang bersama-sama dengan kita sembilan jam sehari. Ingatlah salah satu dosa yang tidak ditakuti orang ialah ghibbah iaitu ucapan, kelakuan, isyarat dengan alis mata, kening, mulut, tangan dan sebarang isyarat yang tidak menyenangkan atau menyakiti hati orang lain. Ghibbah termasuk kata-kata buruk atau kejian atau umpatan kepada saudara yang lain. Dosa ghibbah itu amat besar dan jelik sekali. Rasulullah mengambarkan golongan pengumpat atau pengkeji itu sebagai seorang yang sanggup memakan daging dari tubuh seorang yang lain. ‘Manusia makan manusia’ adalah suatu yang memualkan. Seharian kita beribadah, berzikir, berpuasa sunat, mengerjakan solat-solat nawafil, dan berbagai amal-amal soleh yang lain, janganlah sampai semua pahala itu terhakis oleh gejala ghibbah yang sentiasa melekat dalam jiwa dan sanubari. Marilah berpegang kepada buhul ikatan persaudaraan akidah dan persaudaraan manusia untuk membangun organisasi yang damai, sakinah sama seperti sebuah rumah tangga yang kita impikan. Ingatlah kita bersama teman-teman di pejabat secara aktif sembilan jam sehari, kadang-kadang lebih lama dari bersama anak-anak, adik-adik, suami atau isteri kita. Kita pulang ke rumah untuk berehat, secara aktif kita hanya bersama keluarga untuk beberapa jam sahaja dihari-hari kerja. Oleh itu slogan idaman kita tidak cuma ‘Rumahku Syurgaku (Baiyyiti Jannati)’ tetapi juga ‘Pejabatku Tamanku jua’. Di sinilah kita mencari nafkah halal dan baik. Di sini umpama rumah dan keluarga kedua kita. Persahabatan yang kita bina di sini mudah-mudahan akan kekal abadi. Kita mohon di syurga Allah nanti kita juga akan berjiran, bertetangga dan berdekatan dengan semua rakan-rakan sejawat selamanya.

Sekali lagi penulis tegaskan bahawa sesungguhnya office politics itu suatu yang tak terelakkan dan ia akan terus menjadi sebahagian daripada keadaan yang terpaksa kita lalui setiap masa di mana-mana pejabat pun jua. Kita harus menanganinya secara tegas dan adil, penuh hikmah dan peduli pada semua. Oleh itu, penulis menyarankan agar kita memperbanyakkan bacaan mengenai gosip dan office politics agar kita mampu memahami, mengatasi dan menangani kesannya. Sebagai permulaan perhatikan tulisan-tulisan ringan yang dipetik dari internet yang dikepilkan bersama-sama dengan makalah ini.

Ya Allah ampunkanlah kami.


M. Anuar Tahir

Alor Setar/ 28 Januari 2010 bersamaan 13 Safar 1431H

Share/Save/Bookmark

, , , , , ,

PENGURUSAN ISLAMI - Wacana Isnin 18hb Januari 2010

January 18th, 2010 by admin

Memetik dari buku Pengurusan Dalam Islam terbitan Akademi Pengurusan YPEIM, sesungguhnya Falsafah Pengurusan Islami bertitik tolak daripada hakikat bahawa dalam Islam segala-galanya berpangkal daripada tauhid. Allah adalah satu-satunya Tuhan, satu-satunya Rabb bagi seluruh alam seisinya. Ungkapan Rabb al-‘alamin dalam surah Al-Fatihah itu sebenarnya mengandungi makna Tuhan sebagai pengurus dan pentadbir alam. Secara harfi kalimat Rabb membawa erti pendidik dan pengurus dalam (memelihara dan mengelola sesuatu daripada mula hingga sempurna). Sebagai Rabb (pengurus) Tuhan bersifat al-Rahman dan al-Rahim (pemurah dan penyayang). Ertinya ketertiban dan keteraturan perjalanan alam ini merupakan penjelmaan daripada gaya pengurusanNya yang berteraskan cara al-Rahman al-Rahim. Itulah pengurusan penyayang yang menciptakan keharmonian alam di mana wujudnya kesalingan di kalangan sesama makhluk. Tidak ada makhluk yang dapat hidup bersendirian tanpa bergantung kepada makhluk lain. Misalnya haiwan harus bergantung kepada tumbuh-tumbuhan dan demikian pula sebaliknya.

Gaya pengurusan Ilahi itulah yang harus dipelajari oleh manusia selaku khalifahNya. Amanah kekhalifahan dapat diertikan sebagai mandat ketuhanan untuk membangun, membudaya dan mengurus alam. Untuk itu amanah kekhalifahan harus dilaksanakan menerusi pengurusan, penyayang yang penuh rasa tanggungjawab. Dalam kaitan ini yang terpenting daripada pengurusan alam itu adalah pengurusan manusia itu sendiri. Sebagai khalifah (pengurus alam)

manusia secara tabii adalah makhluk petugas yang sedia dibekali potensi menjadi sumber daya insani yang produktif dan kreatif untuk berkerjasama, saling memberi dan menerima khidmat demi kesejahteraan bersama.

Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya-raya dan setengahnya miskin menderita): dan juga Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi dari darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) setengahnya yang lain.”

(al-Zukhruf: 32)

Pada tanggal 2 November 2008, di Aras 5, West Wing Menara BDB, Alor Setar ketika menyampaikan satu pernyataan dasar sebagai ucapan sulung saya kepada pengurusan dan staf kumpulan Kedah Agro saya telah menyatakan “…falsafah pengurusan yang saya amalkan di mana-mana pun jua merupakan pengurusan ala keluarga. Inilah yang sedang cuba saya terapkan di sini…”

Pengurusan ala keluarga akan dapat menerapkan dan mengaplikasikan konsep pengurusan penyayang dengan penuh rasa tanggungjawab. Sebuah keluarga memerlukan kesetiaan, kesantunan, kesalingan, kejujuran, keadilan dan seperangkat nilai-nilai mulia yang berteraskan cinta dan kasih sayang. Dalam sebuah keluarga tentu berlaku kesilapan kecil atau besar yang jika tidak ditangani dengan baik akan memporak-perandakan sebuah keluarga. Pemimpin keluarga perlu lembut, pengasih dan penyayang tetapi tegas pada semua perkara terutama apabila mengambil sebarang keputusan yang berprinsip.

Seperti mana yang pernah saya tegaskan dalam siri awal wacana di sini sebuah keluarga atau organisasi hanya bernilai apabila ianya sebuah keluarga atau organisasi yang punya integriti. Sebuah keluarga atau organisasi memerlukan pencerahan diri menerusi nilai-nilai berikut:

Ø Amanah, adil, ikhlas dan taqwa

Ø Bertanggungjawab, berdisiplin, jujur, telus, tegas, tidak rasuah

Ø Toleran, sabar, pengasih, pemaaf, berlapang dada

Ø Cintakan: kebenaran, keadilan, makruf, idealisme tinggi, ilmu dan keterampilan

Ø Benci: kepuraan, kezaliman, kemungkaran, kemaksiatan

Ø Sederhana dalam kehidupan, tidak boros, tidak hasad, tidak tamak haloba, sentiasa bersyukur dan pemurah

Saya juga pernah menyatakan bahawa menerusi pantun-pantun melayu klasik akan kita temui sejumlah besar puisi-puisi lama yang dikarang oleh orang di zaman silam sarat dengan makna integriti diri “budi” pada hemat saya punya pengertian yang luas dan ia adalah menifestasi integriti diri yang diperlukan oleh sebuah keluarga, komuniti, organisasi dan lain-lainya.

Ada padi adalah beras

Bertanak nasi periuk tembaga

Ada budi adalah balas

Orang berbudi kita berbahasa

Ada satu panglima barat

Matanya merah rupanya jahat

Tanggungan budi jikalau berat

Baik segera balaskan cepat

Ada seekor burung helang

Suka bertenggek di atas carang

Hancur daging bercerai tulang

Budi yang baik barulah hilang

Burung serindit terbang melayang

Mari hinggap di ranting mati

Bukan ringgit pandangan orang

Pandangan atas bahasa budi

Di sana padi di sini padi

Padi huma dari seberang

Di sana budi di sini budi

Barulah nama di sebut orang

Tenang-tenang air di laut

Sampan kolek mudik ke tanjung

Hati terkenang mulut menyebut

Budi baik rasa nak junjung

Tinggi bukit gilang gemilang

Air laut tenang-tenangan

Budi sedikit tidak kan hilang

Itu menjadi kenang-kenangan

Tanam pisang tanam ubi

Ubi ditanam buatkan batas

Banyak orang bertanam budi

Dalam ingatan hendak dibalas

Tok Batin mengait kelapa

Hendak di jual bulan puasa

Kita miskin tidak mengapa

Asalkan pandai berbudi bahasa

Mudah-mudahan jangan pula jadi seperti pantun berikut:

Tempayan pecah jangan di terap

Boleh dibuat pengisi dedak

Dedak basah penjemur padi

Orang miskin apa diharap

Budi tiada bahasa pun tidak

Emas perak jauh sekali

Wallahualam.

M. Anuar Tahir

Alor Setar/ 14 Januari 2010 bersamaan 28 Muharam 1431H

Share/Save/Bookmark

, , , , ,

Fikir Tentang Apa yang Anda Fikirkan

April 13th, 2009 by admin

Satu aspek terpenting diri anda yang boleh anda kawal adalah fikiran anda, kerana apa yang anda fikirkan mempengaruhi apa yang anda rasa dan lihat. Dengan mengawal fikiran kita mampu mengawal perasaan dan tanggapan terhadap  ruang dan peluang untuk memperbaiki diri dan apa saja yang kita lakukan.

Cara kita bertindakbalas kepada sesuatu bergantung kepada bagaimana kita berfikir tentangnya. Jika kita mempunyai presepsi yang negetif tentang sesuatu benda maka kemungkinan besar  reaksi kita kepadanya juga akan nenatif. Kalau kita berfikir sebaliknya maka reaksi kita juga akan berubah sejajar dengan perubahan presepsi tersebut. Pemikiran ini sering disebut sebagai  pemikiran “stereotype”.  Hakikatnya kita perlu belajar untuk keluar dari putaran pemikiran yang memerangkap ini.

Perupahan pemikiran ini bukanlah perkara mudah, kita perlu berjuang untuk keluar dari sesuatu yang telah menjadi tabi’at atau kebiasaan kita sejak sekian lama. Jika kita mampu bergelut dengan diri kita sendiri untuk keluar dari kebiasaan ini, kita akan mampu belajar untuk berfikiran secara lebih terbuka dan flexible.

Dalam situasi marah , tanggapan negatif dan bahasa yang juga negatif atau terkadang kasar akan terpacul dari mulut kita. Di saat beginilah kita perlu berwaspada tentang apa yang kita fikirkan. Perkataan dan reaksi yang kita lakukan dalam situasi marah tadi mungkin bertepatan dan benar, namun reaksi begini akan mendukacitakan(upset) diri sendiri  tanpa memberi banyak kesan kepada  orang yang dimarahi. Situasi ini sebenarnya merugikan diri sendiri.

Anda boleh menukar perasaan anda dengan mengubah fikiran anda. Kita mesti mengawal pemikiran untuk menghentikan pemikiran negatif yang merugikan menguasi diri. Pemiriran negatif akan  melahirkan perasaan yang kuat yang kemudiannya akan memperkukuhkan lagi pemikiran negative tersebut , akhirnya kita akan terbelenggu dalam kemelut emosi yang menekan dan memakan diri.

Kita mampu keluar dari putaran emosi yang menjerut ini, untuk berbuat demikian kita perlu sedar tentang pemikiran kita dan bagaimana ianya member kesan kepada diri kita. Kita mesti melihat pemikiran itu hanya sebagai satu pemikiran, bebaskan diri anda daripada pengaruhnya supaya kita boleh mengolahnya dalam minda kita semahu kita. Kitalah yang membuat keputusan pemikiran yang mana yang mahu kita gunakan dan bagaimana ianya akan member kesan kepada kita.

Adalah berbahaya jika kita tidak sedar bahawa kita sudah terperangkap dalam satu  aliran pemikiran. Ianya adalah seperti kita terperangap dalam satu gelanggang dimana apa yang berlaku di luar gelanggang tidak mampu lagi kita fahami . Pada kita gelanggang itulah dunia kita sedangkan hakikatnya banyak lagi yang berlaku di luar sana yang gagal kita manfaatkan. Jika kita tidak berhati – hati , kita akan terbelenggu dalam ruang pemikiran di mana kita dibesarkan dan diasuh tanpa kita sedari. Hasilnya kita mungkin tidak dapat mencapai apa yang sebenarnya diingini tanpa memahami mengapa ianya berlaku.

Fikirkan tentang apa yang anda fikirkan, namun janganlah sehingga anda terlalu berhati – hati dan hilang percaya diri. Tanggapilah pemikiran anda sebagai satu idea yang boleh anda gunakan, namun boleh diubah. Pastikan anda mengekalkan integrity diri, sudah tentu ada tension diantara mengubah pemikiran dan sikap anda dan mengekalkan kebiasaan dan kadangkala integrity anda, namun lakukanlah perubahan yang perlu secara berhemah dan bijaksana. Kemungkinan sesetengan perubahan pemikiran ini adalah merupakan yang paling sukar yang pernah anda lakukan, laksanakanlah dengan penuh kesabaran.

WAN KHARIZAL WAN KHAZIM

Pengurus Besar Kumpulan, Operasi & Sumber Manusia

Wacana Isnin

13 April 2009

Share/Save/Bookmark

, , , , ,

5 Ciri Profesional Berjaya

March 30th, 2009 by admin

WACANA ISNIN KEDAH AGRO HOLDINGS

Siddiq - Istiqamah - Fathanah - Amanah - Tabligh

Kelima hal tersebut diatas harus ada dalam diri seorang profesional dalam bentuknya yang paling sempurna.

SIDDIQ - Honest.  Ertinya mempunyai kejujuran dan selalu berlandaskan keyakinan, ucapan dan perbuatan dengan nilai-nilai kebenaran.  Tidak ada percanggahan dan pertentangan yang disengaja antara ucapan dan tindakan.  Dalam dunia kerja dan usaha, kejujuran akan tampil dalam bentuk kesungguhan dan ketepatan (mujahadah dan Itqan) berupa ketepatan masa, janji, perkhidmatan, laporan, mengakui kelemahan diri sendiri untuk diperbaiki serta tidak berbohong dan menipu.

ISTIQAMAH - Consistency.  Ertinya konsisten dalam nilai-nilai kebaikan meskipun menghadapi godaan dan tentangan.  Istiqamah dalam dunia kerja akan tampil dalam bentuk kesabaran, keteguhan dan kesukaran sehingga menghasilkan suatu karya yang optimum.  Profesional yang istiqamah akan mendapatkan ketenangan dalam bekerja dan berkarya sehingga lebih mudah mendapatkan penyelesaian dari persoalan yang dihadapi.

FATHANAH - Competency.  Ertinya mengerti, memahami dan menghayati segala yang menjadi tugas dan kewajibannya.  Profesional dengan etika fathanah memiliki kreativiti yang tinggi dan mampu menghasilkan inovasi.  Kreativiti dan inovasi tersebut adalah hasil manakala profesional tersebut selalu berusaha menambah pengetahuan dalam berbagai bidang, tidak terbatas dalam bidang kerja/usahanya saja tetapi dalam lingkup yang lebih luas.

AMANAH - Accountability.  Ertinya bertanggungjawab dalam melaksanakan setiap tugas dan kewajiban yang diberikan.  Seorang profesional yang amanah akan berprinsip bahawa setiap jabatan yang diberikan kepadanya dan setiap assignment yang diberikan kepadanya nanti akan dipertanggungjawabkan tidak hanya kepada atasan atau pemegang saham tetapi juga kepada ALLAH SWT kelak.

TABLIGH - Teaching by Role Model.  Ertinya memberikan contoh sekaligus mengajak rakan sekerja (peer group dan subordinate) dalam melaksanakan tugas untuk selalu mempraktikan nilai-nilai kebenaran.  Profesional yang bertabligh dengan cara memberikan contoh yang baik ini akan membentuk suatu tim yang mantap dibawah seliaannya.  A team building process will only be successful if the leader act as the best role model.

WAN KHARIZAL WAN KHAZIM
Pengurus Besar Kumpulan, Operasi dan Sumber Manusia
30hb Mac 2009

Share/Save/Bookmark

, , , , , , , , , , ,

Tujuan Hidup - Wacana Isnin 160309

March 16th, 2009 by admin

Tujuan hidup kita ini adalah semata-mata untuk mencari keredhaan Allah jua (mardzatillah). Untuk itu kita seharusnya sentiasa menuju kepada kata Hanif yakni ’kecenderungan kepada yang benar’. Ada mufassirin mencirikan erti yang spesifik dari kata Hanif itu kepada :-

 

a)    Orang yang meninggalkan atau menjauhi kesalahan dan mengarahkan dirinya kepada petunjuk.

b)    Orang secara terus-menerus mengikuti kepercayaan yang benar tanpa berkeinginan untuk berpaling daripadanya.

c)    Seseorang yang cenderung  menata  perilakunya  secara sempurna menurut Islam dan terus-menerus mempertahankannya secara teguh.

 

Kata Hanif juga diterjemahkan dengan ’lurus’. Oleh itu hidup ini adalah hanya untuk mengabdi kepada Ilahi setulusnya. A’bd, sebuah kata Arab yang ertinya hamba atau budak (Indon). Dalam lagu yang berjudul ’Haryati’ karya Ismail Marzuki, kata hamba dapat dikutip dari bait-bait lagu seperti berikut :-

 

Dosakah hamba

Mimpi berkasih dengan tuan?

Ujung jarimu ku cium mesra

Tadi malam…..

 

Kata hamba di situ menunjukkan kepada seseorang yang sedang dirundung cinta kepada seorang wanita. Kata ini tidak mengandungi erti budak/abdi walaupun barangkali dengan menyatakan diri sebagai hamba itu sang pria mungkin ingin menyatakan bahawa dirinya bersedia ’menghamba’ kepada kekasihnya, demi cintanya itu. Dalam hal ini, sang lelaki bersedia  menjadi ’hamba’ kepada orang yang  dicintainya atau kepada orang tua yang dihormatinya.

 

Kata abdi berasal daripada a’bd dan ditasrifkan menjadi a’bada, ya’budu, a’bd. Kata kerja a’bada boleh membawa erti to serve, menyembah (to worship) kepada Tuhan dan memuja Tuhan atau manusia dan memuliakan (to venerate), mendewakan (to idealize). Ibadah adalah penyembahan, pemujaan, pengabdian kepada Ilahi.

 

Dengan memahami konsep-konsep asas ini barulah kita dapat memahami kedudukan diri kita sebagai insan dwi-fungsi. ’Ibadurrahman wa khalifatullah fil ardzi’.

                                                (Ensiklopedi Al-Quran, Paramadina Jakarta, Sept. 1996)

 

 

Belajar Dari Umar Bin Abd Aziz

 

 

Memang dunia ini dibanjiri oleh ramai tokoh  tetapi tidak semua daripada mereka itu patut dijadikan teladan oleh kaum muslimin. Namun, di antara tebaran tokoh-tokoh yang telah tertulis di dalam sejarah dengan tinta  emas ialah Umar Bin Abdul Aziz. Seorang khalifah zuhud yang sukar di cari bandingannya dalam sejarah peradaban manusia. Episod-episod peristiwa dari perjalanan hidupnya yang mulia tetap kekal dan relevan sepanjang zaman.

 

 

_________________________________________________________________________

* Kertas Wacana Isnin di Kedah Agro. Susunan Hj. M. Anuar Tahir berdasarkan ’Umar Bin Abdul Aziz, Alam Raya 2009.

 

KETURUNAN UMAR BIN ABDUL AZIZ DAN SALASILAH KETURUNANNYA DARI KHALIFAH ISLAM YANG KE-3 UMAR AL-FAROUQ

 

 

Dari yang pernah diceritakan orang, Umar Bin Al-Khattab ’Al-Farouq’ sewaktu beliau menjadi khalifah, beliau melarang mencampurkan susu dengan air. Suatu malam, ketika keluar ke pinggiran kota Madinah, dia mendengar suara seorang wanita bercakap kepada anak gadisnya.

 

Si Ibu : ’Tidakkah engkau mencampurkan susu daganganmu dengan air, subuh sudah datang !’.

 

Anak gadis : ’Bagaimana mungkin aku mencampurkan sedangkan Amirul Mukminin melarang mencampurkan susu dengan air’.

 

Si ibu: ’Orang-orang lain telah mencampurkannya. Buat sajalah. Amirul Mukminin tidak akan tahu’.

 

Anak gadisnya: ’Jika Umar tidak tahu, Tuhan Umar pasti tahu. Aku tidak akan mencampurkannya kerana dia telah melarangnya’.

 

Kata gadis itu menusuk ke lubuk hati Umar Al-Khattab. Keesokan paginya Umar memanggil ’Ashim’, puteranya.

 

Umar Al-Khattab: ’Anakku, pergilah ke tempat ini. Tanyakanlah mengenai si gadis ini’.

 

Lalu Umar menceritakan mengenai gadis itu kepada puteranya. Setelah gadis itu ditemui, Umar memerintahkan anaknya.

 

Umar Al-Khattab:  ’Pergilah anakku dan kahwinilah gadis itu. Dia sangat sesuai untuk melahirkan seorang kesatria yang akan memimpin bangsa Arab’.

 

Ashim lalu mengahwini gadis itu. Wanita itu kemudian melahirkan seorang puteri iaitu Ummu Ashim Binti Ashim Bin Umar Bin Al-khattab yang kemudian dinikahi oleh Abdul Aziz Bin Marwan Bin Hakam. Daripada pasangan ini lahirlah Umar Bin Abdul Aziz.

 

 

Share/Save/Bookmark

, , , , , , ,

« Previous Entries

RSS Feed