Pucuk Hijau - Blog Kedah Agro Holdings

Lawatan YAB Dato’ Seri Azizan Abdul Razak ke sangkar ikan Talapia di Pulau Banding

February 2nd, 2010 by admin

Hj. Anuar Tahir, Ketua Eksekutif Kumpulan Kedah Agro dan En. Wan Kharizal Wan Khazim, Pengurus Besar Kumpulan Kedah Agro telah mengiringi lawatan YAB Menteri Besar Kedah Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak ke Pusat Penternakan Ikan Talapia di Tasik Banding, Perak.  Pusat Penternakan Ikan Talapia ini diusahakan oleh sebuah syarikat kerjasama diantara Malaysia dan Norway - Trapia (M) Sdn. Bhd.

Turut serta dalam lawatan ini ialah YB Dato’ Haji Amiruddin Hamzah,  Pengerusi JK Industri & Pelaburan, Pertanian & Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Penerangan, pegawai-pegawai kanan Pejabat Menteri Besar, Jabatan Perikanan dan para usahawan.

Setelah diberikan taklimat mengenai projek ini,YAB Menteri Besar dan anggota rombongan telah dibawa melihat sangkar terapung yang terletak didalam kawasan Tasik Banding serta melawat pusat Nurseri bagi projek pemeliharaan ikan talapia ini yang terletak berdekatan.

Share/Save/Bookmark

, , , , , , , , , , ,

PENGURUSAN ISLAMI - Wacana Isnin 18hb Januari 2010

January 18th, 2010 by admin

Memetik dari buku Pengurusan Dalam Islam terbitan Akademi Pengurusan YPEIM, sesungguhnya Falsafah Pengurusan Islami bertitik tolak daripada hakikat bahawa dalam Islam segala-galanya berpangkal daripada tauhid. Allah adalah satu-satunya Tuhan, satu-satunya Rabb bagi seluruh alam seisinya. Ungkapan Rabb al-‘alamin dalam surah Al-Fatihah itu sebenarnya mengandungi makna Tuhan sebagai pengurus dan pentadbir alam. Secara harfi kalimat Rabb membawa erti pendidik dan pengurus dalam (memelihara dan mengelola sesuatu daripada mula hingga sempurna). Sebagai Rabb (pengurus) Tuhan bersifat al-Rahman dan al-Rahim (pemurah dan penyayang). Ertinya ketertiban dan keteraturan perjalanan alam ini merupakan penjelmaan daripada gaya pengurusanNya yang berteraskan cara al-Rahman al-Rahim. Itulah pengurusan penyayang yang menciptakan keharmonian alam di mana wujudnya kesalingan di kalangan sesama makhluk. Tidak ada makhluk yang dapat hidup bersendirian tanpa bergantung kepada makhluk lain. Misalnya haiwan harus bergantung kepada tumbuh-tumbuhan dan demikian pula sebaliknya.

Gaya pengurusan Ilahi itulah yang harus dipelajari oleh manusia selaku khalifahNya. Amanah kekhalifahan dapat diertikan sebagai mandat ketuhanan untuk membangun, membudaya dan mengurus alam. Untuk itu amanah kekhalifahan harus dilaksanakan menerusi pengurusan, penyayang yang penuh rasa tanggungjawab. Dalam kaitan ini yang terpenting daripada pengurusan alam itu adalah pengurusan manusia itu sendiri. Sebagai khalifah (pengurus alam)

manusia secara tabii adalah makhluk petugas yang sedia dibekali potensi menjadi sumber daya insani yang produktif dan kreatif untuk berkerjasama, saling memberi dan menerima khidmat demi kesejahteraan bersama.

Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya-raya dan setengahnya miskin menderita): dan juga Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi dari darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) setengahnya yang lain.”

(al-Zukhruf: 32)

Pada tanggal 2 November 2008, di Aras 5, West Wing Menara BDB, Alor Setar ketika menyampaikan satu pernyataan dasar sebagai ucapan sulung saya kepada pengurusan dan staf kumpulan Kedah Agro saya telah menyatakan “…falsafah pengurusan yang saya amalkan di mana-mana pun jua merupakan pengurusan ala keluarga. Inilah yang sedang cuba saya terapkan di sini…”

Pengurusan ala keluarga akan dapat menerapkan dan mengaplikasikan konsep pengurusan penyayang dengan penuh rasa tanggungjawab. Sebuah keluarga memerlukan kesetiaan, kesantunan, kesalingan, kejujuran, keadilan dan seperangkat nilai-nilai mulia yang berteraskan cinta dan kasih sayang. Dalam sebuah keluarga tentu berlaku kesilapan kecil atau besar yang jika tidak ditangani dengan baik akan memporak-perandakan sebuah keluarga. Pemimpin keluarga perlu lembut, pengasih dan penyayang tetapi tegas pada semua perkara terutama apabila mengambil sebarang keputusan yang berprinsip.

Seperti mana yang pernah saya tegaskan dalam siri awal wacana di sini sebuah keluarga atau organisasi hanya bernilai apabila ianya sebuah keluarga atau organisasi yang punya integriti. Sebuah keluarga atau organisasi memerlukan pencerahan diri menerusi nilai-nilai berikut:

Ø Amanah, adil, ikhlas dan taqwa

Ø Bertanggungjawab, berdisiplin, jujur, telus, tegas, tidak rasuah

Ø Toleran, sabar, pengasih, pemaaf, berlapang dada

Ø Cintakan: kebenaran, keadilan, makruf, idealisme tinggi, ilmu dan keterampilan

Ø Benci: kepuraan, kezaliman, kemungkaran, kemaksiatan

Ø Sederhana dalam kehidupan, tidak boros, tidak hasad, tidak tamak haloba, sentiasa bersyukur dan pemurah

Saya juga pernah menyatakan bahawa menerusi pantun-pantun melayu klasik akan kita temui sejumlah besar puisi-puisi lama yang dikarang oleh orang di zaman silam sarat dengan makna integriti diri “budi” pada hemat saya punya pengertian yang luas dan ia adalah menifestasi integriti diri yang diperlukan oleh sebuah keluarga, komuniti, organisasi dan lain-lainya.

Ada padi adalah beras

Bertanak nasi periuk tembaga

Ada budi adalah balas

Orang berbudi kita berbahasa

Ada satu panglima barat

Matanya merah rupanya jahat

Tanggungan budi jikalau berat

Baik segera balaskan cepat

Ada seekor burung helang

Suka bertenggek di atas carang

Hancur daging bercerai tulang

Budi yang baik barulah hilang

Burung serindit terbang melayang

Mari hinggap di ranting mati

Bukan ringgit pandangan orang

Pandangan atas bahasa budi

Di sana padi di sini padi

Padi huma dari seberang

Di sana budi di sini budi

Barulah nama di sebut orang

Tenang-tenang air di laut

Sampan kolek mudik ke tanjung

Hati terkenang mulut menyebut

Budi baik rasa nak junjung

Tinggi bukit gilang gemilang

Air laut tenang-tenangan

Budi sedikit tidak kan hilang

Itu menjadi kenang-kenangan

Tanam pisang tanam ubi

Ubi ditanam buatkan batas

Banyak orang bertanam budi

Dalam ingatan hendak dibalas

Tok Batin mengait kelapa

Hendak di jual bulan puasa

Kita miskin tidak mengapa

Asalkan pandai berbudi bahasa

Mudah-mudahan jangan pula jadi seperti pantun berikut:

Tempayan pecah jangan di terap

Boleh dibuat pengisi dedak

Dedak basah penjemur padi

Orang miskin apa diharap

Budi tiada bahasa pun tidak

Emas perak jauh sekali

Wallahualam.

M. Anuar Tahir

Alor Setar/ 14 Januari 2010 bersamaan 28 Muharam 1431H

Share/Save/Bookmark

, , , , ,

Wacana Isnin - Belajar Dari Wali Songo

January 12th, 2010 by admin

Penulis menyaksikan pergantian tahun 2009 ke 2010 di Kota Bandung Indonesia, menginap bersama isteri di Arion Swiss Belhotel sejak 30 Disember 2009 hingga 3 Januari 2010. Menerusi Saluran TV Metro penulis di kejutkan oleh berita kematian Kiyai Abdul Rahman Wahid atau Gus Dur, Mantan Presiden keempat Republik Indonesia di Rumah Sakit Cipto Mangunkusumo (RSCM – Jakarta).

Gus Dur sosok seorang pemimpin, ulama, penggerak sosial, penulis, budayawan dan ahli politik hebat itu sudah tiada lagi. Terkenal sebagai Bapak Pluralisme Indonesia seorang kiyai yang mengusulkan pembumian Islam dan fikeh Indonesia memiliki citra warna-warni: pemidato berani, sentiasa selamba dan berterus terang – penggemar dan pengulas bola sepak, penggemar muzik Mozart dan Beethoven diceritakan oleh seorang penyiar (DJ) sebuah stesen Radio FM Jawa bahawa Sang Kiyai N.U (Nahdatul Ulama) itu pernah menelefon agar lagu tema “Remang-remang” disiarkan sepenuhnya justeru beliau amat terkesan dan meminati lagu tersebut. Pernah mengusulkan agar orang Indonesia yang sukar menyebut kalimat Arab menukarkan ucapan salam dengan “Selamat Pagi” sahaja.

Sebagai seorang aktivis Islam di Malaysia, penulis tidak banyak berkongsi pemikiran Gus Dur terutama pegangan Pluralisme beliau. Namun penulis turut berbelasungkawa – sedih dengan kepergian seorang Gus Dur yang akan mensunyikan nusantara dari ide-ide unik dan kontroversi. Apapun kita harus menghormati perbedaan pendapat. (Penulis segera terkenang kontroversi penggunaan kalimah Allah oleh Majalah Christian Herald yang dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Negara baru-baru ini).

Untuk memahami proses pengIslaman di Jawa kita perlu menelusuri sejarah penyebaran Islam di sana dan untuk itu penulis ingin memetik beberapa perenggan buku Dakwah Wali Songo: Penyebaran Islam Berbasis Kultural di Tanah Jawa tulisan bersama Dr. Purwadi dan Dra. Enis Niken, Panji Pustaka Yokyakarta 2007.

Sejarah Wali Songo berkaitan dengan penyebaran Dakwah Islamiyah di Tanah Jawa. Sukses gemilang perjuangan para Wali ini tercatat dengan tinta emas. Dengan didukung penuh oleh Kesultanan Demak Bintoro, agama Islam kemudian dianut oleh sebahagian besar masyarakat Jawa, mulai dari perkotaan, pedesaan dan pegunungan. Islam benar-benar menjadi agama yang mengakar. Proses Islamisasi di pulau Jawa berjalan dengan aman dan damai, tanpa ada pergolakan serta kegoncangan psikologis dan sosial.

Hal ini disebabkan para Wali lebih menggunakan pendekatan kultural, yang sarat dengan simbol-simbol kebudayaan lokal, seperti wayang dan gamelan. Akulturasi kebudayaan yang dipelopori Wali Songo dilanjutkan oleh para juru dakwah berikutnya, sehingga pengamalan dan praktek Islam di Jawa terasa amat khas. Agama dan budaya berjalan secara selaras, serasi dan seimbang.”

Pendakwahan Wali Sembilan: Maulana Malik Ibrahim, Sunan Ampel, Sunan Bonang, Sunan Drajat, Sunan Giri, Sunan Kudus, Sunan Gunung Jati, Sunan Kalijaga dan lain-lain menarik diselidiki.

Sunan Bonang atau Raden Makdum atau Maulana Makdum Ibrahim dikatakan melaksanakan dakwah melalui Pewayangan, menyempurnakan instrument gamelan: bonang, kenong dan kempul. Syairnya “Tamba Ati” dilagukan sampai hari ini oleh orang-orang Jawa di masjid dan pesantren.

Tamba Ati Iku Lima Sak Wanane

Kaping pisan maca Quran sak maknane

Kaping pindho salat wengi lakonana

Kaping telu, wong kang soleh kencanana

Kaping papat kudu weteng nigkang luwe

Kaping lima zikir wengi nigkang suwe

Salah sa ijune sapa bisa ngelakoni

Mugi-mugi Gusti Allah ngijabahi.

Terjemahan:

Ubat Hati Ada Lima Macamnya

Yang pertama baca Quran dan maknanya

Yang kedua solat malam dirikanlah

Yang ketiga orang soleh dekatilah

Yang keempat zikir malam perpanjangkanlah

Yang kelima harus tahan lapar perutnya

Salah satunya siapa bisa menjalani

Moga-moga Gusti Allah mencukupi.

Menurut tembang itu, ada lima macam penawar hati atau pengubat jiwa yang ‘sakit’, yakni membaca Al-Quran, mengerjakan solat tahajjud, bersahabat dengan orang soleh, berzikir dan hidup prihatin. Sementara syair tembang Ilir-ilir karya Sunan Kalijaga pula begitu halus maknanya, penuh tamsil dan ibarat.

Ilir-ilir

Ilir ilir tandure wis sumilir

Tak ijo royo-royo tak sengguh temanten anyar

Bocah angon(2x) penekna belimbing kuwi

Lunyu-lunyu ya penekna kanggo masuh dodotira (2x)

Dodotira (2x) kumitir bedhah ing pinggir

Dondomana jrumatana kanggo seba mengko sore (2x)

Mumpung padhang rembulane mumpung jembar kalangane

Terjemahan:

Ilir-ilir

Ilir-ilir tanaman sudah bersemi

Tampak menghijau ibarat pengantin baru

Wahai penggembala panjatlah belimbing itu

Meski licin panjatlah untuk mencuci kain

Kain yang sedang robek pinggirnya

Jahitlah dan tampallah untuk

Menghadap nanti sore

Ketika bulan terang dan lebar tempatnya

Lagu puisi Ilir-ilir di atas memberi rasa optimis kepada seseorang yang sedang melakukan kebaikan di mana amal itu berguna untuk bekal di hari akhir.

Pesan tentang asal-usul dan tujuan hidup di pegang teguh oleh pengikut Mistik di Jawa. Apalagi bila guru Sunan Kalijaga pernah memberikan wejangan (ajaran) seperti tersimpul dalam tembang Dhanghanggula seperti berikut:

Urip iku neng donya tan lami

Upamane jebeng menyang pasar

Tan langgeng neng pasar bae

Tan wurung nuli mantuk

Mring wismane sangkane nguni

Ing mengko aja samar, sangkan paranipun

Ing mengko padha weruha

Yen asale sangkan paran duk ing nguni

Aja nganti kesasar

Terjemahan:

Hidup di dunia ini tidak lama

Seperti jika kamu pergi ke pasar

Tidak akan di pasar terus

Pastilah akan kembali juga

Ke rumah asalnya

Maka janganlah sampai keliru

Maka ketahuilah

Ilmu sangkan paran ( asal diri / asal dan tujuan)

Agar jangan sampai kesasar

Pesan mistik tembang tersebut mengkehendaki bahawa hidup di dunia ini tidak lama, ibarat manusia pergi ke pasar, akan segera kembali ke rumah asalnya, kerana itu jangan sampai ragu-ragu terhadap asal-usul, agar jangan sampai salah jalan. Pesan ini menunjukkan bahawa manusia hidup di dunia sekadar mampir ngombe (singgah untuk minum), kerana suatu ketika akan kembali kepada Tuhan.

Bagi penulis tembang tersebut perlu ditanggapi secara positif. Ia tidak bermakna hidup yang singkat ini tidak perlu perhatian dan pergerakan yang terlalu serius. Atau menganggap hidup ini sementara tak mengapa kalau di sia-siakan. Kan cuma sebentar saja? Malah bagi penulis ini menunjukkan ia perlu diperebutkan dengan sebaik-baiknya dengan menjadikan kehidupan sebentar ini sebagai suatu yang amat bermakna. Kehidupan berkualiti tinggi, tamsilnya pun masuk ke pasar dengan segala aktiviti muamalat, jual-beli, perekonomian dan sosial kalau pun sebentar semacam “singgah ngombe” (singgah minum) warung persinggahan, isi perbualan apatah lagi minuman dan juadah makanan semestinya yang paling enak, bersih, halalan toiyiban. Katakunci tetap kualiti.

Demikian petikan-petikan ringkas untuk lontaran awal bagi memahami susur-galur proses Islamisasi dan dakwah berbasis budaya yang amat ketara di Tanah Jawa sebagai halwa minda.

Perhatikan betapa kreatif para wali itu berdakwah kepada umat Jawa yang menganut anamisma dan budaya Hindu Buddha sehingga Islam mengakar dalam Peradaban dan Budaya Jawa.

Sekadar mengambil iktibar apa salahnya. Tanyai diri sendiri, kita yang kononnya “murni” ini di tahap mana da’awah bil lisan wa da’awah bil hal atau da’awah bil thaqafah.

Astaghfirullah il ‘Azim. Moga-moga Allah s.w.t sudi mengampunkan.

M. Anuar Tahir

Alor Setar/ 6 Januari 2010 bersamaan 20 Muharam 1431H

Share/Save/Bookmark

, , , , , , , ,

Majlis Iftar Kedah Agro Holdings dan Persatuan Orang Pekak Kedah Darul Aman

September 14th, 2009 by PRO Kedah Agro

Alhamdulillah, Majlis Iftar ini telah selamat dianjurkan dengan kehadiran penuh oleh semua ahli dan kakitangan yang terlibat, lebih dari 40 orang telah hadir memeriahkan majlis ini.

Kedah Agro diketuai oleh Ketua Eksekutif Kumpulan, Haji Mohd Anuar Tahir dan bagi pihak persatuan pula, diketuai oleh En. Lim Heng Tuck, Presiden Persatuan.  Turut hadir ialah Pegawai Khas YAB Menteri Besar Kedah, En Yusrin Adnan.

Sungguhpun berbeza cara berkomunikasi, namun ianya dapat diatasi sekiranya ada kemahuan.

En. Lim Heng Tuck sedang berbual bersama Haji Anuar Tahir tentang akuakultur.

Sesi taaruf - ahli persatuan sedang mengeja nama mereka.

mereka juga berkongsi pekerjaan yang mereka lakukan

Teknologi terkini memudahkan lagi interaksi bersama mereka

Presiden dan Setiausaha sama-sama bekerja keras menggerakan Persatuan Orang Pekak Kedah Darul Aman

Haji Anuar Tahir sedang beramah mesra dengan En. Lim

Gambar kenang-kenangan Majlis Iftar KAH - KDA 2009 di Restoran Radix Fried Chicken, Shahab Perdana

Semoga pertemuan awal ini dapat menjalinkan satu kerjasama erat dikalangan anggota kerja Kedah Agro Holdings dan ahli Persatuan Orang Pekak Kedah Darul Aman.

Share/Save/Bookmark

, , , , , , , , , , , ,

Wacana 070909 - Pengurusan & Kepimpinan Khalifah Pertama Abu Bakar As Siddiq (ra)

September 7th, 2009 by PRO Kedah Agro

Saidina Abu Bakar As-Siddiq (r.a), teman setia Nabi, Saidina Abu Bakar dilahirkan pada tahun 573 di Makkah, 2 tahun lebih muda dari Nabi Muhammad s.a.w. Ayahnya, ‘Uthman lebih dikenali dengan nama Abu Qahafah dan ibu, Salma yang juga dikenali sebagai Ummul Khayr. Saidina Abu Bakar As-Siddiq (r.a) adalah seorang bangsawan Quraisyh dari Bani Tamim yang tergolong kaya. Sejak zaman mudanya beliau seorang yang memiliki peribadi unggul, pendiam, jujur, amanah dan tidak hairanlah kenapa sejak dari muda beliau dijadikan sahabat oleh Nabi Muhammad s.a.w. Ramai penduduk Makkah yang mengamanahkan hartanya untuk disimpan oleh beliau. Seorang yang pengasih lagi perihatin beliau selalu membantu orang-orang. Di zaman sebelum memeluk Islam lagi beliau tidak pernah minum sebarang minuman yang memabukkan dan membenci amalan-amalan buruk dilakukan di zaman jahilliah. Abu Bakar adalah seorang peniaga, beliau beberapa kali pernah menemani Rasulullah dalam beberapa perjalanan dagang ke luar Makkah. Persahabatan sejak zaman muda antara keduanya menjadikan kedua sahabat mulia ini membina citra persahabatan yang agung.

Abu Bakar adalah lelaki dewasa pertama yang memeluk Islam dan menerusi beliau Uthman, Talha, Zubayr dan Said (Ri’zwanullah’alayhim ajmain) menyertai Islam setelah mendengar dakwah dan penerangan dari Abu Bakar di hari petama beliau memeluk Islam. Di hari berikutnya beliau menemui Utman bin Maz’un , Abu ‘Ubaidah, Abdul Rahman bin ‘Auf dan beberapa tokoh-tokoh Quraisy yang lain. Dengan dakwah Abu Bakar semua, personaliti besar Qurasiy itu beriman dengan Rasullulah dan menjadi generasi pertama Islam. Watak Abu Bakar As-Siddiq adalah watak manusia terbaik yang sentiasa menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai idola ikutannya. Peribadi yang luhur, lembut, pengasih, tawadhuk dan mendahulukan kepentingan yang lain adalah suri teladan ikutan kita semua. Di zaman awal Islam, beliau turut mengalami kesengsaraan akibat pemboikotan dan penganiaan golongan musyrik Quraisy ketika menyampaikan gagasan Islam di hadapan Kaabah. Beliau pernah dipukul beramai-ramai oleh kaum musyrikin ketika berdakwah di Kaabah. Darah bercucuran menyelubungi wajahnya, hidung dan telinganya cedera disepak dan dipijak beramai-ramai oleh golongan musyrikin Makkah menyebabkan beliau pengsan dan tidak sedarkan diri. Kecintaannya kepada Rasulullah dapat dilihat dari pertanyaan awal yang terbit dari mulutnya sebaik daripada sedar daripada pengsan, “ Bagaimana dengan Rasulullah?”. Ketika ramai yang keliru dengan peristiwa Isra’ dan Mikraj Nabi, Abu Bakar menjadi orang pertama menerima sepenuhnya apa yang terbit dari mulut Rasulullah s.a.w itu malah beliau menegaskan beriman dengan apa saja yang disampaikan oleh nabi. Beliau telah menyertai pelbagai peperangan bersama dengan Nabi sejak dari peperangan Badar. Di peperangan Badar anaknya sendiri masih belum memeluk Islam, lalu berperang di pihak Musyrikin Quraisy. Selepas memeluk Islam satu harii anaknya itu berkata “ Wahai ayah, aku telah temui engkau di bawah pedangku di Perang Badar sebanyak dua kali namun aku tidak tergamak mengangkat tangan untuk memancungmu kerana kasihku kepada mu”. Mendengar kata-kata anaknya itu, Abu Bakar menjawab “ aku sepatutnya telah membunuhmu ”. Demikian ketegasan seorang sahabat Nabi yang begitu jelas lagi kental akidah dan iman menyerlahkan akhlak dan watak yang benar-benar Islami. Abu Bakar adalah seorang yang berpegang teguh kepada prinsip. Dia memang lembut, santun, merendah diri tetapi bulat dan tegas dalam soal-soal prinsip dalam agama dan kehidupan.

Pemilihan Abu Bakar oleh Rasulullah sebagai Imam di masjid Nabi ketika Nabi mulai sakit, menggambarkan betapa Abu Bakar adalah pilihan tepat umat bagi mengganti Rasulullah sebagai pentadbir dan pengurus negara Islam sesudah Nabi. Abu Bakar As-Siddiq walaupun amat lembut tetapi seorang yang sangat tegas pendiriannya dalam perkara-perkara prinsipal. Ketika beliau menduduki kerusi pemerintahan negara berdepan dengan krisis, konflik, penentangan, penderhakaan, pengkhianatan dari pelbagai pihak yang mengambil kesempatan dari kewafatan Rasulullah s.a.w. Kemunculan nabi-nabi palsu seperti Aswad ‘Ansi, Diyaman, Tulaiha di utara Semenanjung Arab, Sajjah binti Al-harith di Suwaid , Musailamah Al –Kadzab juga pemberontakan-pemberontakan lain di Yaman dan Bahrain telah dihapuskan oleh tentera-tentera yang diutusnya.

Abu Bakar adalah penyelamat Islam. Beliau telah menyatukan seluruh umat dan menghancurkan seluruh pemberontakan. Di zaman pemerintahan Abu Bakar dunia melihat bagaimana beliau menamatkan semua usaha-usaha untuk menyekat kebangkitan Islam bukan sahaja golongan nabi palsu, golongan mengingkari zakat (gejala riddah) dihancurkan beliau, malah kerajaan Rom Timur dan Parsi yang membantu para pemberontak turut terpukul. Beliau telah menghabiskan hartanya yang banyak demi kelangsungan Islam. Dalam satu kempen memungut dana peperangan di zaman Rasulullah beliau telah menyerahkan seluruh hartanya sehinggakan apabila di tanya apa saja yang tinggal kepada engkau wahai Abu Bakar, beliau menjawab dengan kata-kata, “hanya Allah dan Rasul”. Islam telah berkembang sebagai sebuah gagasan Negara Besar bermula di zaman Abu Bakar As-Siddiq r.a. Seorang yang sangat bertakwa dan sentiasa mengabdi kepada Allah sehingga Rasulullah pernah membayangkan betapa beratya iman Abu Bakar sekiranya ditimbang iman Abu Bakar berbanding iman manusia seluruhnya berat lagi iman Abu Bakar. Seorang yang lembut hatinya itu pernah didengar orang mencemburui burung yang terbang bebas di tamannya lalu beliau berkata “Alangkah bahagianya engkau burung boleh terbang, makan dan minum apa saja dan bebas membuat apa jua dan engkau tidak dipertanggunggjawabkan apa-apa pun di akhirat nanti…”

Pengurusan dan Pentadbiran khalifah abu Bakar As-Siddiq.

Beliau telah mengasaskan sebuah sistem pentadbiran yang teratur. Mengamalkan sikap yang sangat demokratik mewujudkan jawatan setiausaha pentadbiran dan sentiasa melakukan konsultasi dengan sahabat-sahabat utama. Di zaman beliau pengumpulan Al-Quran bermula apabila mendapati ramai para huffaz syahid di berbagai medan peperangan. Saidina ‘Umar Al-Khatab adalah orang pertama mencadangkan supaya AL-Quran dikekalkan dalam bentuk asalnya dengan secara hitam putih agar ditulis dalam bentuk buku. Para sahabat bersetuju dengan cadangan ‘Umar dan Saidina Abu Bakar yang pada mulanya agak kurang bersetuju kerana tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah berubah fikiran dan memerintahkan Zaid bin Thabit mengepalai kerja-kerja pengumpulan .

Zaman Abu Bakar syura di Institusikan beliau melantik para pegawai, gabenor bagi wilayah-wilayah menyusun tentera Islam walaupun waktu itu mereka bukannya tentera namun mereka dibahagi-bahagikan kepada beberapa batalion apabila ditugaskan melakukan sebarang gerakan atau berperang untuk mempertahankan kedaulatan negara. Madinah menjadi ibu Negara dimana Saidina Umar diangkat menjadi Hakim, Abu Ubaidah bin Jarrah menjadi bendahari, Saidina Ali dilantik menjadi setiausaha peribadi kepada beliau dan Saidina Uthman dilantik menjadi kteua setiuasaha yang bertanggungjawab menulis semua arahan dan dikri khalifah.

Ketika dilantik dan di bai’ah oleh wasiat Abu Bakar mengatakan “Wahai saudaraku sekalian, aku telah diamanahkan tanggungjawab ini walhal aku bukanlah yang terbaik dikalangan kamu semua. Kalau aku melakukan kesalahan perbetulkanlah. Sudah tentu kebenaran itu adalah kejujuran dan pendustaan itu adalah pengkhianatan. Aku pinta untuk ditaati selagi aku taat kepada Allah dan Rasul. Kalu aku mengingkari Allah dan Rasul kamu adalah bebas untuk tidak mentaatiku. Nah, sekarang marilah mendirikan solat…”

Memimpin adalah mendahulukan kepentingan orang lain dari mengurus dengan sempurna. Abu Bakar As-Siddiq r.a memimpin dengan sikap adil lagi lemah lembut namun tegas dan berperinsip. Belaiau memilih petugas-petugas yang berkelayakan dan tidak menyerahkan amanah kepada kaum kerabatnya.

Seorang yang kaya-raya sebelum di angkat menjadi khalifah tetapi meninggalkan perniagaannya bila diamanahkan mengurus dan mentadbir negara. Saidina ‘Umar mencadangkan agar beliau menerima sedikit bayaran sara hidup dari Baitulmal sebelum menjadi Amirul Mukminin. Bila beliau meninggal bayaran yang tidak dipakai semuanya dikembalikan kepada negara. Demikian Abu Bakar permata penyelamat Islam yang tiada tara bandingnya.

M. Anuar Tahir

Share/Save/Bookmark

, , , , , , , ,

« Previous Entries

RSS Feed