Pucuk Hijau - Blog Kedah Agro Holdings

Ladang Nenas Kedah Agro Cashcrop di Laka Temin, Kubang Pasu

April 6th, 2010 by admin

Ketua Eksekutif Kumpulan Kedah Agro, Haji Anuar Tahir telah melawat Ladang Nenas Kedah Agro Cashcrop yang berkeluasan lebih 50 ekar  yang terletak di Laka Temin, Kubang Pasu.

Turut mengiringi beliau ialah Pengarah Urusan Kedah Agro Livestock, Tn. Haji Abdullah Osman.

Mereka telah disambut oleh kakitangan Kedah Agro Cashcrop yang diketuai oleh Pengarah Urusannya sendiri, Hj. Yaccob Awang Ahmad.

Kesemua yang hadir telah berpeluang untuk menanam sulur nenas sebagai merasmikan projek penanaman nenas Kedah Agro Cashcrop di Laka Temin.

Syabas diucapkan kepada Kedah Agro Cashcrop Sdn. Bhd.

Share/Save/Bookmark

, , , ,

Lawatan Ketua Eksekutif ke tapak Pusat Kuarantin di Bukit Kayu Hitam

April 6th, 2010 by admin

Ketua Eksekutif Kedah Agro telah melakukan satu lawatan ke Tapak Projek Kuarantin, Pengumpulan dan Penjualan Lembu Daging.

Lawatan ini turut diiringi oleh Pengarah Urusan Kedah Agro Livestock - Haji Abdullah Osman dan Pengarah Urusan Kedah Agro Cashcrop - Haji Yaacob Awang Ahmad.

Share/Save/Bookmark

, , , ,

Kelas Petang Khamis - Etika Emel Korporat

February 4th, 2010 by admin

Alhamdulillah, satu lagi program pembudayaan Ilmu telah berjalan dengan lancar.

Semua kakitangan Kedah Agro yang hadir telah diberikan kaedah dan etika yang digunapakai didalam menguruskan emel korporat bagi memastikan ianya tidak menjejaskan nama dan imej syarikat disamping menaikkan lagi imej syarikat.

Program ini turut dihadiri oleh Hj. Mohd Anuar Tahir, Ketua Eksekutif Kumpulan dan En. Wan Kharizal Wan Khazim, Pengurus Besar Kumpulan.

Pengisian untuk Etika Emel Korporat ini dikendalikan secara in-house oleh Pengurus Perhubungan Awam Kedah Agro Holdings sendiri, En. Shahrul.

Kelas Petang merupakan elemen pembudayaan ilmu terbaru di Kedah Agro dan akan berlangsung setiap dua minggu.  Kelas Petang akan berkongsi ilmu mengenai skil dan kemahiran organisasi antaranya ialah Komunikasi, Bahasa Badan, Menangani Stress, Teknik Menjawab Telefon, Teknik Menangani Pelanggan dan lain-lain lagi.

Share/Save/Bookmark

, , , , ,

PENGURUSAN ISLAMI - Wacana Isnin 18hb Januari 2010

January 18th, 2010 by admin

Memetik dari buku Pengurusan Dalam Islam terbitan Akademi Pengurusan YPEIM, sesungguhnya Falsafah Pengurusan Islami bertitik tolak daripada hakikat bahawa dalam Islam segala-galanya berpangkal daripada tauhid. Allah adalah satu-satunya Tuhan, satu-satunya Rabb bagi seluruh alam seisinya. Ungkapan Rabb al-‘alamin dalam surah Al-Fatihah itu sebenarnya mengandungi makna Tuhan sebagai pengurus dan pentadbir alam. Secara harfi kalimat Rabb membawa erti pendidik dan pengurus dalam (memelihara dan mengelola sesuatu daripada mula hingga sempurna). Sebagai Rabb (pengurus) Tuhan bersifat al-Rahman dan al-Rahim (pemurah dan penyayang). Ertinya ketertiban dan keteraturan perjalanan alam ini merupakan penjelmaan daripada gaya pengurusanNya yang berteraskan cara al-Rahman al-Rahim. Itulah pengurusan penyayang yang menciptakan keharmonian alam di mana wujudnya kesalingan di kalangan sesama makhluk. Tidak ada makhluk yang dapat hidup bersendirian tanpa bergantung kepada makhluk lain. Misalnya haiwan harus bergantung kepada tumbuh-tumbuhan dan demikian pula sebaliknya.

Gaya pengurusan Ilahi itulah yang harus dipelajari oleh manusia selaku khalifahNya. Amanah kekhalifahan dapat diertikan sebagai mandat ketuhanan untuk membangun, membudaya dan mengurus alam. Untuk itu amanah kekhalifahan harus dilaksanakan menerusi pengurusan, penyayang yang penuh rasa tanggungjawab. Dalam kaitan ini yang terpenting daripada pengurusan alam itu adalah pengurusan manusia itu sendiri. Sebagai khalifah (pengurus alam)

manusia secara tabii adalah makhluk petugas yang sedia dibekali potensi menjadi sumber daya insani yang produktif dan kreatif untuk berkerjasama, saling memberi dan menerima khidmat demi kesejahteraan bersama.

Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya-raya dan setengahnya miskin menderita): dan juga Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi dari darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) setengahnya yang lain.”

(al-Zukhruf: 32)

Pada tanggal 2 November 2008, di Aras 5, West Wing Menara BDB, Alor Setar ketika menyampaikan satu pernyataan dasar sebagai ucapan sulung saya kepada pengurusan dan staf kumpulan Kedah Agro saya telah menyatakan “…falsafah pengurusan yang saya amalkan di mana-mana pun jua merupakan pengurusan ala keluarga. Inilah yang sedang cuba saya terapkan di sini…”

Pengurusan ala keluarga akan dapat menerapkan dan mengaplikasikan konsep pengurusan penyayang dengan penuh rasa tanggungjawab. Sebuah keluarga memerlukan kesetiaan, kesantunan, kesalingan, kejujuran, keadilan dan seperangkat nilai-nilai mulia yang berteraskan cinta dan kasih sayang. Dalam sebuah keluarga tentu berlaku kesilapan kecil atau besar yang jika tidak ditangani dengan baik akan memporak-perandakan sebuah keluarga. Pemimpin keluarga perlu lembut, pengasih dan penyayang tetapi tegas pada semua perkara terutama apabila mengambil sebarang keputusan yang berprinsip.

Seperti mana yang pernah saya tegaskan dalam siri awal wacana di sini sebuah keluarga atau organisasi hanya bernilai apabila ianya sebuah keluarga atau organisasi yang punya integriti. Sebuah keluarga atau organisasi memerlukan pencerahan diri menerusi nilai-nilai berikut:

Ø Amanah, adil, ikhlas dan taqwa

Ø Bertanggungjawab, berdisiplin, jujur, telus, tegas, tidak rasuah

Ø Toleran, sabar, pengasih, pemaaf, berlapang dada

Ø Cintakan: kebenaran, keadilan, makruf, idealisme tinggi, ilmu dan keterampilan

Ø Benci: kepuraan, kezaliman, kemungkaran, kemaksiatan

Ø Sederhana dalam kehidupan, tidak boros, tidak hasad, tidak tamak haloba, sentiasa bersyukur dan pemurah

Saya juga pernah menyatakan bahawa menerusi pantun-pantun melayu klasik akan kita temui sejumlah besar puisi-puisi lama yang dikarang oleh orang di zaman silam sarat dengan makna integriti diri “budi” pada hemat saya punya pengertian yang luas dan ia adalah menifestasi integriti diri yang diperlukan oleh sebuah keluarga, komuniti, organisasi dan lain-lainya.

Ada padi adalah beras

Bertanak nasi periuk tembaga

Ada budi adalah balas

Orang berbudi kita berbahasa

Ada satu panglima barat

Matanya merah rupanya jahat

Tanggungan budi jikalau berat

Baik segera balaskan cepat

Ada seekor burung helang

Suka bertenggek di atas carang

Hancur daging bercerai tulang

Budi yang baik barulah hilang

Burung serindit terbang melayang

Mari hinggap di ranting mati

Bukan ringgit pandangan orang

Pandangan atas bahasa budi

Di sana padi di sini padi

Padi huma dari seberang

Di sana budi di sini budi

Barulah nama di sebut orang

Tenang-tenang air di laut

Sampan kolek mudik ke tanjung

Hati terkenang mulut menyebut

Budi baik rasa nak junjung

Tinggi bukit gilang gemilang

Air laut tenang-tenangan

Budi sedikit tidak kan hilang

Itu menjadi kenang-kenangan

Tanam pisang tanam ubi

Ubi ditanam buatkan batas

Banyak orang bertanam budi

Dalam ingatan hendak dibalas

Tok Batin mengait kelapa

Hendak di jual bulan puasa

Kita miskin tidak mengapa

Asalkan pandai berbudi bahasa

Mudah-mudahan jangan pula jadi seperti pantun berikut:

Tempayan pecah jangan di terap

Boleh dibuat pengisi dedak

Dedak basah penjemur padi

Orang miskin apa diharap

Budi tiada bahasa pun tidak

Emas perak jauh sekali

Wallahualam.

M. Anuar Tahir

Alor Setar/ 14 Januari 2010 bersamaan 28 Muharam 1431H

Share/Save/Bookmark

, , , , ,

Wacana Isnin - Belajar Dari Wali Songo

January 12th, 2010 by admin

Penulis menyaksikan pergantian tahun 2009 ke 2010 di Kota Bandung Indonesia, menginap bersama isteri di Arion Swiss Belhotel sejak 30 Disember 2009 hingga 3 Januari 2010. Menerusi Saluran TV Metro penulis di kejutkan oleh berita kematian Kiyai Abdul Rahman Wahid atau Gus Dur, Mantan Presiden keempat Republik Indonesia di Rumah Sakit Cipto Mangunkusumo (RSCM – Jakarta).

Gus Dur sosok seorang pemimpin, ulama, penggerak sosial, penulis, budayawan dan ahli politik hebat itu sudah tiada lagi. Terkenal sebagai Bapak Pluralisme Indonesia seorang kiyai yang mengusulkan pembumian Islam dan fikeh Indonesia memiliki citra warna-warni: pemidato berani, sentiasa selamba dan berterus terang – penggemar dan pengulas bola sepak, penggemar muzik Mozart dan Beethoven diceritakan oleh seorang penyiar (DJ) sebuah stesen Radio FM Jawa bahawa Sang Kiyai N.U (Nahdatul Ulama) itu pernah menelefon agar lagu tema “Remang-remang” disiarkan sepenuhnya justeru beliau amat terkesan dan meminati lagu tersebut. Pernah mengusulkan agar orang Indonesia yang sukar menyebut kalimat Arab menukarkan ucapan salam dengan “Selamat Pagi” sahaja.

Sebagai seorang aktivis Islam di Malaysia, penulis tidak banyak berkongsi pemikiran Gus Dur terutama pegangan Pluralisme beliau. Namun penulis turut berbelasungkawa – sedih dengan kepergian seorang Gus Dur yang akan mensunyikan nusantara dari ide-ide unik dan kontroversi. Apapun kita harus menghormati perbedaan pendapat. (Penulis segera terkenang kontroversi penggunaan kalimah Allah oleh Majalah Christian Herald yang dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Negara baru-baru ini).

Untuk memahami proses pengIslaman di Jawa kita perlu menelusuri sejarah penyebaran Islam di sana dan untuk itu penulis ingin memetik beberapa perenggan buku Dakwah Wali Songo: Penyebaran Islam Berbasis Kultural di Tanah Jawa tulisan bersama Dr. Purwadi dan Dra. Enis Niken, Panji Pustaka Yokyakarta 2007.

Sejarah Wali Songo berkaitan dengan penyebaran Dakwah Islamiyah di Tanah Jawa. Sukses gemilang perjuangan para Wali ini tercatat dengan tinta emas. Dengan didukung penuh oleh Kesultanan Demak Bintoro, agama Islam kemudian dianut oleh sebahagian besar masyarakat Jawa, mulai dari perkotaan, pedesaan dan pegunungan. Islam benar-benar menjadi agama yang mengakar. Proses Islamisasi di pulau Jawa berjalan dengan aman dan damai, tanpa ada pergolakan serta kegoncangan psikologis dan sosial.

Hal ini disebabkan para Wali lebih menggunakan pendekatan kultural, yang sarat dengan simbol-simbol kebudayaan lokal, seperti wayang dan gamelan. Akulturasi kebudayaan yang dipelopori Wali Songo dilanjutkan oleh para juru dakwah berikutnya, sehingga pengamalan dan praktek Islam di Jawa terasa amat khas. Agama dan budaya berjalan secara selaras, serasi dan seimbang.”

Pendakwahan Wali Sembilan: Maulana Malik Ibrahim, Sunan Ampel, Sunan Bonang, Sunan Drajat, Sunan Giri, Sunan Kudus, Sunan Gunung Jati, Sunan Kalijaga dan lain-lain menarik diselidiki.

Sunan Bonang atau Raden Makdum atau Maulana Makdum Ibrahim dikatakan melaksanakan dakwah melalui Pewayangan, menyempurnakan instrument gamelan: bonang, kenong dan kempul. Syairnya “Tamba Ati” dilagukan sampai hari ini oleh orang-orang Jawa di masjid dan pesantren.

Tamba Ati Iku Lima Sak Wanane

Kaping pisan maca Quran sak maknane

Kaping pindho salat wengi lakonana

Kaping telu, wong kang soleh kencanana

Kaping papat kudu weteng nigkang luwe

Kaping lima zikir wengi nigkang suwe

Salah sa ijune sapa bisa ngelakoni

Mugi-mugi Gusti Allah ngijabahi.

Terjemahan:

Ubat Hati Ada Lima Macamnya

Yang pertama baca Quran dan maknanya

Yang kedua solat malam dirikanlah

Yang ketiga orang soleh dekatilah

Yang keempat zikir malam perpanjangkanlah

Yang kelima harus tahan lapar perutnya

Salah satunya siapa bisa menjalani

Moga-moga Gusti Allah mencukupi.

Menurut tembang itu, ada lima macam penawar hati atau pengubat jiwa yang ‘sakit’, yakni membaca Al-Quran, mengerjakan solat tahajjud, bersahabat dengan orang soleh, berzikir dan hidup prihatin. Sementara syair tembang Ilir-ilir karya Sunan Kalijaga pula begitu halus maknanya, penuh tamsil dan ibarat.

Ilir-ilir

Ilir ilir tandure wis sumilir

Tak ijo royo-royo tak sengguh temanten anyar

Bocah angon(2x) penekna belimbing kuwi

Lunyu-lunyu ya penekna kanggo masuh dodotira (2x)

Dodotira (2x) kumitir bedhah ing pinggir

Dondomana jrumatana kanggo seba mengko sore (2x)

Mumpung padhang rembulane mumpung jembar kalangane

Terjemahan:

Ilir-ilir

Ilir-ilir tanaman sudah bersemi

Tampak menghijau ibarat pengantin baru

Wahai penggembala panjatlah belimbing itu

Meski licin panjatlah untuk mencuci kain

Kain yang sedang robek pinggirnya

Jahitlah dan tampallah untuk

Menghadap nanti sore

Ketika bulan terang dan lebar tempatnya

Lagu puisi Ilir-ilir di atas memberi rasa optimis kepada seseorang yang sedang melakukan kebaikan di mana amal itu berguna untuk bekal di hari akhir.

Pesan tentang asal-usul dan tujuan hidup di pegang teguh oleh pengikut Mistik di Jawa. Apalagi bila guru Sunan Kalijaga pernah memberikan wejangan (ajaran) seperti tersimpul dalam tembang Dhanghanggula seperti berikut:

Urip iku neng donya tan lami

Upamane jebeng menyang pasar

Tan langgeng neng pasar bae

Tan wurung nuli mantuk

Mring wismane sangkane nguni

Ing mengko aja samar, sangkan paranipun

Ing mengko padha weruha

Yen asale sangkan paran duk ing nguni

Aja nganti kesasar

Terjemahan:

Hidup di dunia ini tidak lama

Seperti jika kamu pergi ke pasar

Tidak akan di pasar terus

Pastilah akan kembali juga

Ke rumah asalnya

Maka janganlah sampai keliru

Maka ketahuilah

Ilmu sangkan paran ( asal diri / asal dan tujuan)

Agar jangan sampai kesasar

Pesan mistik tembang tersebut mengkehendaki bahawa hidup di dunia ini tidak lama, ibarat manusia pergi ke pasar, akan segera kembali ke rumah asalnya, kerana itu jangan sampai ragu-ragu terhadap asal-usul, agar jangan sampai salah jalan. Pesan ini menunjukkan bahawa manusia hidup di dunia sekadar mampir ngombe (singgah untuk minum), kerana suatu ketika akan kembali kepada Tuhan.

Bagi penulis tembang tersebut perlu ditanggapi secara positif. Ia tidak bermakna hidup yang singkat ini tidak perlu perhatian dan pergerakan yang terlalu serius. Atau menganggap hidup ini sementara tak mengapa kalau di sia-siakan. Kan cuma sebentar saja? Malah bagi penulis ini menunjukkan ia perlu diperebutkan dengan sebaik-baiknya dengan menjadikan kehidupan sebentar ini sebagai suatu yang amat bermakna. Kehidupan berkualiti tinggi, tamsilnya pun masuk ke pasar dengan segala aktiviti muamalat, jual-beli, perekonomian dan sosial kalau pun sebentar semacam “singgah ngombe” (singgah minum) warung persinggahan, isi perbualan apatah lagi minuman dan juadah makanan semestinya yang paling enak, bersih, halalan toiyiban. Katakunci tetap kualiti.

Demikian petikan-petikan ringkas untuk lontaran awal bagi memahami susur-galur proses Islamisasi dan dakwah berbasis budaya yang amat ketara di Tanah Jawa sebagai halwa minda.

Perhatikan betapa kreatif para wali itu berdakwah kepada umat Jawa yang menganut anamisma dan budaya Hindu Buddha sehingga Islam mengakar dalam Peradaban dan Budaya Jawa.

Sekadar mengambil iktibar apa salahnya. Tanyai diri sendiri, kita yang kononnya “murni” ini di tahap mana da’awah bil lisan wa da’awah bil hal atau da’awah bil thaqafah.

Astaghfirullah il ‘Azim. Moga-moga Allah s.w.t sudi mengampunkan.

M. Anuar Tahir

Alor Setar/ 6 Januari 2010 bersamaan 20 Muharam 1431H

Share/Save/Bookmark

, , , , , , , ,

« Previous Entries

RSS Feed