Penjawat Awam Pemegang Amanah Rakyat
December 30th, 2009 by admin
“PENJAWAT AWAM PEMEGANG AMANAH RAKYAT”
Satu forum perdana Integriti bertajuk “ Penjawat Awam Pemegang Amanah Rakyat” telah berlangsung pada 29 Disember 2009 di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar, Kedah. Forum ini telah dipengerusikan oleh Ustaz Zakaria Bin Osman dari Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM). Manakala ahli panelnya pula ialah Tuan Hj. Mustapha Ali, Timbalan Presiden Institut Integriti Malaysia dan Profesor Dato Dr. Ismail Ibrahim, penyandang Kerusi Sheikh Abdullah Fahim dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Forum yang berlangsung selama 3 jam ini merupakan anjuran bersama Pejabat Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan Institut Pengurusan Dan Integriti (INSPIN).
Kedua-dua ahli panel telah mengupas isu integriti di kalangan penjawat awam dengan cukup baik. Menurut Tuan Hj. Mustapha Ali pula, integriti boleh didefinisikan sebagai “Kawalan Dalaman” yang membawa maksud bagaimana seseorang atau individu tersebut mengawal tindakan atau tingkahlakunya bagi membolehkannya mencapai integriti pada tahap yang tinggi. Menurutnya lagi, terdapat tiga jenis integriti iatu Integriti Individu yang bermula dari dalam diri kita sendiri, Integriti Organisasi iaitu bagaimana kita menepati kod-kod garis panduan serta etika di dalam sesebuah organisasi sepertimana yang telah ditetapkan oleh organisasi itu sendiri serta Integriti Negara yang merangkumi bagaimana kita berusaha sedaya upaya bagi mencapai visi, misi dan ISO kearah kecemerlangan negara. Tambahnya lagi, terdapat tiga kualiti yang perlu diterapkan kedalam diri iaitu “Integriti, Intelligent dan Energy”. Tanpa ketiga-tiga faktor ini, integriti tertinggi agak sukar dicapai.
Ahli panel kedua iatu Profesor Dato Dr. Ismail Ibrahim, telah mendefinisikan istilah ehsan. Bagaimana kita melakukan sesuatu dengan mengetahui ianya dilihat oleh Allah. Ehsan juga merupakan salah satu kekuatan dalaman yang membentuk kerja-kerja harian yang dilakukan oleh seseorang itu. Malah, akidah, syariah dan akhlak turut menjadi penyumbang utama dalam membentuk atau membina keperibadian seseorang. Tambahannya lagi, terdapat dua perkara yang membuatkan manusia tidak pernah berputus asa untuk mencarinya didalam kehidupan seharian. Perkara yang dimaksudkan itu ialah Ilmu pengetahuan dan harta kekayaan. Namun manusia pada masa ini sering mengabaikan ilmu pengetahuan dalam mencari atau menambah harta kekayaan. Ini menyebabkan integriti pada tahap tertingggi agak sukar dicapai sekiranya manusia hanya menumpukan perhatian kepada mencari harta kekayaan semata-mata sehingga mengabaikan atau meminggirkan ilmu pengetahuan.
Majlis yang dihadiri oleh kebanyakkannya penjawat awam serta kakitangan syarikat-syarikat milik kerajaan negeri ini telah dirasmikan penutupannya oleh YAB Menteri Besar Kedah, Dato Seri Ustaz Azizan Bin Abd Razak.
- No Comments »
- Posted in Aktiviti Kerajaan Negeri Kedah
Awal Muharram 1431
- No Comments »
- Posted in Berita Agro, Berita Agro Kedah, Dunia, Wacana








