Utara: Kompleks pemprosesan ikan terbesar di Kampung Gelonchor
March 31st, 2009 by admin
Oleh Zuliaty Zulkiffli
bhnews@bharian.com.my
Projek bernilai RM4.5 juta bagi pengeluaran produk tangkapan laut
KUALA KEDAH: Sebuah kompleks pemprosesan ikan terbesar di Malaysia akan dibina berhampiran pelantar ikan Kampung Gelonchor, Kubang Rotan di sini, untuk meningkatkan pengeluaran produk hasil tangkapan laut terutama ikan.
Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kedah, Mohd Noor Had, berkata pembinaan kompleks baru yang membabitkan belanja RM4.5 juta itu akan dibina di atas tapak seluas 1.2 hektar dan mampu menghasilkan produk berkualiti dan dijangka beroperasi selewat-lewatnya September ini.
“Kompleks pemprosesan hasil tangkapan nelayan yang sedia ada sekarang tidak cukup untuk menempatkan barangan dan peralatan seperti mesin memproses keropok dan bagi tujuan itu kompleks baru yang lebih luas dan sedang dibina.
“Dengan pembinaan kompleks pemprosesan ikan baru itu nanti, LKIM yakin ia dapat memberi peluang pekerjaan kepada isteri dan anak nelayan untuk bekerja di situ, sekali gus menambah pendapatan isi rumah keluarga nelayan di kawasan terbabit,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat agung Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Kedah di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Pengarah LKIM, Datuk Mustafa Ahmad; Pengerusi Persatuan Nelayan Kedah (Nekad), Amarudin Husin dan Pengerusi PNK Kuala Kedah, Abdul Hamid Bahari.
Sementara itu, Mustafa ketika ditemui berkata, Kompleks Pendaratan Ikan LKIM di Kampung Gelonchor dekat sini akan beroperasi sepenuhnya bermula Rabu ini selepas dua kali ditangguh sejak dibina pada 2004.
Difahamkan, kompleks yang dibina dengan kos kira-kira RM60 juta itu sudah siap dan ia akan menjadi pusat pendaratan ikan serba moden dan terbesar di negeri ini.
“Semua bahagian pengurusan dan pentadbiran LKIM akan berpindah ke kompleks berkenaan pada Mei ini dan kita berharap segala operasi di bangunan baru itu berjalan lancar.
“Ia akan dilengkapi pelbagai kemudahan, termasuk memberi ruang kepada nelayan untuk menjual hasil tangkapan mereka secara borong dan runcit.
“Selain itu, kita percaya kualiti ikan akan lebih terjaga di kompleks baru ini memandangkan pelbagai kemudahan moden ada di situ, sekali gus memastikan pengguna mendapat bekalan ikan segar,” katanya.
Dalam pada itu, Mustafa berkata, LKIM sedia membantu belia di kawasan itu untuk melaksanakan kempen Bumi Hijau dengan membabitkan diri dalam penternakan ikan keli menggunakan tangki atau tong gentian kaca bagi menambah pendapatan mereka
- No Comments »
- Posted in Berita Agro









