Pucuk Hijau - Blog Kedah Agro Holdings

Wacana Isnin - MOHAMMAD NATSIR PERMATA ZAMAN

January 15th, 2009 by admin

 

Lahir pada 7 Julai 1908 di Alahan Panjang, Sumatera Barat. Adalah seorang lagi putera Melayu yang ternama di rantau ini. Mendapat pendidikan awal di Hollands Inlands School, Solok, Padang. Madrasah Diniyah di Solok dan kemudiannya Mulo, Padang. Mulai 1927-1930, Algenence Middelbare School Westerns Klasieke Andeling, Bandung. Memasuki Pergerakan Pelajar Islam. Kemudian menjadi guru dan Ketua Jong Islamieten Bond di Bandung. Dari situ terus berjuang menuntut kemerdekaan Indonesia. Kemudiannya memegang pelbagai jawatan di Pemerintahan dari Menteri Penerangan Republik Indonesia (RI) mulai 1946. Menjadi Perdana Menteri pertama RI sesudah Mosi Integral (Integral Motion) dan Ketua Umum Partai Masjumi (Majlis Syura Muslimin Indonesia).

Mohammad Natsir adalah satu kurniaan dalam rupa model kepimpinan yang memenuhi pelbagai kitaran keunggulan : Berwibawa, berwawasan, kompiten, bersih, merakyat dan menginspirasikan (”Siddiq Fadzil”). Muhammad Natsir intelektual, ulama, pendakwah, pejuang, ahli politik, negarawan, Guru Bangsa dan pendidik adalah tokoh besar tersenarai sebagai Tokoh Dunia. Muhammad Natsir termasuk tokoh yang tersenarai dalam Oxford Encyclopedia of The Modern Islamic World.

Penulis berasa bahagia kerana dalam kehidupan ini sempat berkenalan dan berguru secara non formal dengan tokoh besar rantau ini sewaktu memimpin Pergerakan ABIM, Himpunan Belia Islam Sedunia bagi Asia Pasifik dan Persekutuan Organisasi Pelajar Islam Antarabangsa. Setiap kali berkunjung ke Jakarta, sepanjang tahun 80-an, pasti dimanfaatkan dengan pertemuan bersama beliau sama ada di kantor atau di kediamannya. Sebagaimana penulis melihat kebesaran Muhammad Hatta, demikian juga dengan Muhammad Natsir. Penulis sekali lagi ingin menyorot dimensi kemanusiaan yang berada pada manusia besar ”Muhammad Natsir”. Biar orang lain berbicara tentang keilmuan dan kepolitikannya. Penulis hanya ingin menfokuskan tentang Muhammad Natsir sebagai seorang manusia untuk mengambil ibrah dan keteladanan.

Menurut anak lelakinya, Ahmad Fauzie Natsir, Muhammad Natsir yang dipanggil ’abah’ sangat demokratis. Beliau memberi kebebasan kepada anak-anak dalam memilih cita-cita atau jalan kehidupannya. Tidak pernah memaksa menurut keinginannya. Tidak pernah memaksa anak-anak untuk harus begini atau begitu. Harus jadi ini atau jadi itu. Kami anak-anak apabila memiliki keinginan atau keperluan ”kami tidak pernah mengutarakan langsung kepada abah. Keinginan itu kami sampaikan terlebih dahulu kepada ibu yang kami panggil Ummi”. Melalui Ummilah keinginan itu disampaikan kepada abah. Setelah itu barulah kami bicarakan bersama-sama.

         

Muhammad Natsir bukanlah orang yang suka menjelik-jelikkan seseorang di belakang. Menurut Fauzie, dahulu ada seorang seketarias abah yang ketika PRRI, orang ini ikut ke Sumatera bersama abah. Sebagai seketarias peribadi tentu banyak tahu tentang abah. Tapi setelah Padang dan Bukit Tinggi diserang oleh Tentera Pusat, orang ini menyerah dengan membawa semua dokumen yang kemudian semuanya diserahkan kepada Pemerintah Pusat. Orang itu diberi bermacam-macam hadiah. Malah beliau dihantar melanjutkan pengajian tinggi di Amerika Syarikat. Orang ini jelas-jelas sudah mengkhianati abah. Setelah kembali dari Amerika Syarikat, seketarias ini melanjutkan pengajian doktoral di Universitas Hasanudin, Ujung Padang. Orang ini ketika menyelesaikan doktoralnya datang menemui abah di rumah. Abah tidak mengusirnya malah diterima dengan baik. Meski dari segi moralnya, dia dikategorikan sebagai pengkhianat besar. Jadi dari peristiwa ini boleh kita lihat bahawa Muhammad Natsir tidak memiliki peribadi pendendam. Abah sendiri tidak pernah menuduh mantan seketariasnya sebagai pengkhianat. Kepada seluruh anggota keluarga di rumah, beliau hanya menyatakan orang tersebut sebagai orang yang tidak benar. Hanya itu sahaja. Padahal mendengar ceritanya, kita sebagai anak-anaknya kesal sekali melihat orang tersebut.

 

Meski pernah menjawat Menteri tiga kali. Sekali menjadi Perdana Menteri. Namun, itu tidak membuatkan dia jauh dari rakyat kecil. Tamu yang berkunjung ke rumah kebanyakannya rakyat kecil, wong cilik ketika Muhammad Natsir masih tinggal di No.46 Jalan Tjokroaminoto, abah mulai sakit-sakitan. Anak-anak semua bercadang dan mengusulkan kepada abah supaya rumah itu dijual dan berpindah ke tempat yang tenang.

 

Waktu itu anak-anak bercadang agar pindah ke sebuah Kompleks Pemukiman di kawasan kebayuran baru yang menurut keluarganya satu tempat yang lebih tenang, lebih nyaman dan tidak dilalui oleh angkutan umum. Abah tidak setuju dengan usulan itu. ” Tamu saya kan orang-orang yang naik bas, pakai sandal jepit”, katanya. Dulu ada yang menganalogikan abah dalam kehidupan keluarga kami itu bagaikan lampu patromak. Cahayanya terang benderang menerangi semua yang ada di keliling, semua anggota keluarga. Sosoknya tenang dan santun walau pun dalam situasi gawat, beliau tidak pernah tegang. Sehingga seluruh anggota keluarga turut ikut tenang.

 

Meski pun Muhammad Natsir mantan Perdana Menteri dan Menteri Penerangan, kehidupan keluarga amat sederhana sepertimana yang disaksikan oleh penulis sendiri. Pun bila berhenti jadi Menteri, mobil dinas (kereta rasmi) dikembalikan kepada pemerintah. Sewaktu beliau keluar dari kediaman rasmi sebagai Menteri, beliau keluar dengan membawa sebuah beg yang dulu dibawanya ketika mulai masuk mendiami rumah tersebut. Seluruh keluarganya tidak pernah dibiasakan hidup mewah sewaktu menjadi Menteri. Apatah lagi sesudah berhenti. Di No.46 Jalan Tjokroaminoto, beliau menjalani kehidupan ekonomi keluarga yang tetap normal. Beliau tahu, pemerintah yang sentiasa menekan sejak zaman Soekarno hingga ke zaman Suharto tidak akan memberi ruang selesa untuk beliau. Pak Natsir tahu ada orang intelegen negara sengaja menyewa rumah bersebelahan rumah beliau untuk mengawasi pergerakan Muhammad Natsir sekeluarga. Tapi, Muhammad Natsir dan keluarganya biasa-biasa sahaja. Tidak pernah rasa tertekan sedikit pun.

 

Kesederhanaan Muhammad Natsir dapat diamati dari ungkapan berikut :

 

’Dia tidak bakal berpakaian seperti seorang Menteri, namun demikian dia adalah seorang yang amat cekap dan penuh kejujuran. Jadi, kalau anda hendak memahami apa yang sedang terjadi dalam Republik, anda harus berbicara dengannya’.- Haji Agoes Salim.

 

Demikianlah citra manusia Natsir di mata mentornya, Haji Agoes Salim. Sejarawan terkemuka George Mc Turnan Kahin (Penulis buku Nationalism and Revolution in Indonesia) yang menerima pesanan tersebut kemudiannya mengesahkan kebenaran kata-kata itu setelah bersemuka dengan Muhammad Natsir yang ketika itu menjadi Menteri Kewangan. (Siddiq Fadzil 1993)

 

Penulis sempat berulang kali berziarah ke rumah Pak Natsir yang sangat sederhana sedangkan beliau adalah mantan Menteri sebuah negara besar. Perabot rumah dibuat dari rotan dan kayu yang agak lama. Tidak seperti rumah pembesar-pembesar yang lain. Kediaman Mohamad Natsir sangat sederhana.

 

Sesiapa saja yang ke rumah dilayan dengan senyuman mesra tanpa mengira usia atau kedudukan. Biasanya tetamu akan dihidangkan dengan secangkir teh ’o’ dan kadang-kadang kalau bernasib baik sepotong dua kuih atau biskut. Berada di sisi Pak Natsir adalah suatu kebahagiaan dari ramah-tamah dan santunnya. Bersama bapak kita akan dapat mengutip berbagai mutiara ilmu dan pengalaman seorang pejuang, pendakwah, ilmuan dan negarawan tersohor. Ajip Rosidi menggambarkan kekaguman beliau seperti berikut :

 

”Dalam keadaan bagaimana pun, dalam kedudukan apa pun, beliau tetaplah sederhana, tabah dan tawaddu’ terhadap Allah s.w.t, bayangan anak sebelas tahun memungut kayu-kayu yang dihantarkan ombak ke pesisir pantai Padang untuk dipergunakan sebagai kayu bakau buat memasak nasi yang ditanak dengan ikan teri, tetaplah melekat padanya. Setelah menjadi pemimpin umat Islam yang dilalui di sebuah negara sendiri, pernah menjadi tamu yang dihormati oleh raja-raja dan presiden-presiden berbagai negara – namun tetap jugalah beliau tidak meninggalkan asalnya anak kecil pemungut kayu bakau untuk menanak nasinya sendiri”.

 

Tawaddu’ Pak Natsir yang saya perhatikan sendiri memang luar biasa sentiasa menolak mengimami solat walau pun di rumahnya sendiri. Seorang salafiy yang dididik di PERSIS tidak mahu memaksa sesiapa pun untuk menerima pakai satu-satu pegangan hukum yang bersifat furu’. Penulis percaya itulah sebab mengapa beliau sering menolak untuk mengimami solat orang lain kecuali keluarganya sendiri.

 

Kefahaman tafsir Al-Quran oleh Pak Natsir dapat dilihat kepada catatan Dr. Mohammad Nur Manuty yang berdasarkan apa yang penulis ceritakan kepada beliau mengenai Natsir.

 

Pak Natsir juga dilihat sebagai seorang yang dapat memahami mesej Al-Quran dengan akal yang terbuka. Ketika rombongan pimpinan ABIM dari seluruh negara menganjurkan projek ziarah da’wah lapangan ke Pulau Jawa, Indonesia. Pada tahun 1986, satu kontroversi telah berlaku dalam kalangan pemimpin. Sewaktu rombongan pimpinan ABIM telah berada di candi Borobodur yang terkenal itu, ada beberapa pimpinan ABIM yang enggan menaiki Borobodur. Alasannya melawat candi Borobodur boleh menjejaskan akidah seorang muslim. Almarhum Ustaz Abdul Wahab Zakaria, mantan pensyarah Pengajian Islam, Universiti Teknologi Malaysia yang juga mantan Ketua Biro Da’wah, ABIM Pusat dalam dekad 80-an. Beliau tidak bersetuju dengan pandangan tersebut. Lalu almarhum membaca sepotong ayat Al-Quran: ”Katakanlah wahai Muhammad, mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat buruk (yang menimpa) orang-orang yang mendustakan (Rasul-Rasul) itu”. (Surah Al-Imran:30)

 

Walau bagaimana pun, sebahagian ahli-ahli rombongan itu masih belum dapat menerima hujah almarhum Ustaz Abdul Wahab Zakaria itu. Setibanya rombongan di kota Jakarta dan bertemu semula dengan Pak Natsir di rumahnya, beliau pun bertanya ” Sudah melawat Borobodur?” Maka sebahagian besar ahli-ahli rombongan dengan segera melawat : ”Ya, Pak”. Lantas Bapak Natsir pun membaca sepotong ayat dari Surah Al-Imran:137 yang sebelum ini telah dibacakan oleh almarhum Ustaz Abdul Wahab Zakaria. Di sini jelas sekali bahawa pemahaman Pak Natsir terhadap tafsir Al-Quran adalah luas, tidak jumud. Justeru, beliau juga dikatakan sebagai seorang yang tinggi kearifannya dalam memahami ayat-ayat Al-Quran.

 

Muhammad Natsir adalah pemimpin teladan yang perlu dihargai putera Melayu Minangkabau yang menjadi milik dunia. Kehadiran dan pemergian beliau tetap menepati prinsip kepimpinan seorang lagi ’Sang Guru Bangsa’ Ki Hadjar Dewantara – ING NGARSO SUNG TULODO, ING MADYO MANGUN KARSO, TUT WURI  HANDAYANI. Sebuah motto bahawa para pemimpin, ketika sedang berdiri di depan, harus memberi teladan, ketika di tengah, mesti memberikan inspirasi dan di belakang memberi motivasi. Meminjam kata seniman Agung P. Ramlee. ’Di manakan ku cari ganti – serupa denganmu….’ Namun penulis ingin  menyertai Tawfik Ismail – penyair intelektual Indonesia yang bermadah sambil berdoa ” Robbana, Robbana, Robbana, Jangan kami dibiarkan seratus tahun lagi, untuk tibanya pemimpin-pemimpin bangsa yang mencerahkan dan bercahaya, kilau kemilau serupa Natsir…”

Biarlah diakhiri tulisan ini dengan puisi Iqbal pilihan Natsir. Sewaktu berpidato sempena Hari Iqbal 21 April 1953, beliau memilih puisi tersohor Iqbal yang diterjemahkan dari versi Arabnya Al-Adzami : Harapan Kepada Pemuda. Terjemahan pilihan puisi Iqbal oleh Natsir seolah-olah khas ditujukan kepada generasi selepasnya.

 

”Harapan kepada Pemuda

 

Aku harapkan pemuda inilah yang akan sanggup

Membangunkan zaman yang baru

Memperbaru kekuatan zaman

Menjalankan pelita hidayat

Menyebarkan ajaran khatamul-anbiya’

Menancapkan (menanamkan-p) di tengah medan pokok ajaran Ibrahim

Api ini akan hidup kembali dan membakar

Jangan mengeluh jua, hai orang yang mengadu

Jangan putus asa, melihat lengang kebunmu

Cahaya pagi telah terhampar bersih

Dan kembang-kembang telah menyebar harum narwastu

……..

 

Khilafatul-Ard akan diserahkan kembali ke tanganmu

Bersedialah dari sekarang

Tegaklah untuk menetapkan engkau ada

Denganmulah Nur Tauhid akan disempurnakan kembali

Engkaulah minyak atar itu, meskipun masih tersimpan dalam

Kuntum yang akan mekar

Tegaklah, dan pikullah amanat ini atas pundakmu

Hembuslah panas nafasmu di atas kebun ini

Agar harum-harum narwastu meliputi segala

Dan janganlah dipilih hidup ini bagai nyanyian ombak

Hanya berbunyi ketika berhempas di pantai

Tetapi jadilah kamu air-bah, mengubah dunia dengan amalmu

Kipaskan sayapmu di seluruh ufuk

Sinarilah zaman dengan nur imanmu

Kirimkan cahaya dengan kuat yakinmu

Patrikan segala dengan nama Muhammad”

 

 

 

M. Anuar Tahir

Alor Star 14 Januari 2009

Share/Save/Bookmark

, , , , , , ,

Wacana Isnin ”SEKALI LAGI BELAJAR DARI MOHAMMAD HATTA”

January 4th, 2009 by admin

Nota Diskusi yang dipadankan dari tulisan Adi Sasono, Mantan Menteri Koperasi Indonesia yang menjadi kenalan penulis.

 

Dilahirkan di Bukit Tinggi pada 12 Ogos 1902. Sejak kecil beliau seorang yang berhemah dan penjimat. Setiap kali orang tuanya memberikan wang belanja, selalunya wang itu ditabungi. Caranya adalah dengan cara tersendiri di mana wang logam itu disusun sepuluh-sepuluh dan disimpan di mejanya. Jadi setiap orang yang mengambil atau mengusiknya, Hatta selalu tahu. Namun, kalau ada orang yang memintanya dengan baik dan Hatta menganggap perlu diberi, ia akan segera memberi apa yang dimilikinya itu.

 

BUKU NOTA

 

Pernah pada satu waktu, Hatta memiliki sebuah buku nota baru, belum terpakai dan diletak di atas meja belajarnya. Tidak lama kemudian Hatta mendapati sehelai dari muka surat buku nota tersebut terisi tulisan salah seorang bapa saudaranya. Bapa saudaranya itu mencatit beberapa arahan untuk tukang yang sedang bekerja membaiki rumah mereka. Hatta pun terus marah dan menangis. Bapa saudaranya berusaha memujuknya. ”Baiklah, apa yang sudah kutulis di situ dikoyak sahaja.” Hatta menjawab, ”Tidak boleh.” Kemudian bapa saudaranya cuba menenangkannya lagi, ”Baiklah, Pakcik gantikan dengan yang baru”. Hatta tetap tidak mahu. Hatta tidak menginginkan yang baru, melainkan dia hanya kecewa barangnya diganggu, kerana bapa saudaranya tidak meminta izin terlebih dahulu. Hatta tetap menangis dan akhirnya bapa saudaranya turut menangis kerana dia tidak tahu apa yang harus dilakukannya.

 

Wang yang dikumpulkan di meja tulis akhirnya dimasukkan ke Bank Tabungan Pos. Menurut sepupunya, Hatta yang dipanggil ’Uda’ membeli buku-buku untuk persekolahannya dari simpanan itu. Itulah masa kecil Mohammad Hatta yang kemudiannya bergelar Bung Hatta pada 10 Ogos 1945 bersama-sama dengan Ir. Sukarno memproklamatorkan kemerdekaan Republik Indonesia.

 

KISAH KASUT BALLY

 

Tahun 1950-an, waktu Hatta masih menjadi Naib Presiden Indonesia, Bally adalah satu jenama sepatu yang bermutu tinggi dan tentunya tidak murah. Bung Hatta berminat pada sepatu Bally. Ia menyimpan guntingan iklan yang memuat alamat penjualnya. Ia menabung dari waktu ke waktu untuk dapat membeli sepatu idaman tersebut. Namun wang tabungan nampaknya tidak pernah mencukupi, kerana selalu terambil untuk keperluan rumahtangga atau untuk membantu kerabat dan handai taulan yang datang kepadanya untuk meminta tolong.

 

Hingga akhir hayatnya sepatu Bally idaman Bung Hatta tidak pernah terbeli kerana tabungannya tidak mencukupi. Yang sangat mengharukan dari cerita ini adalah guntingan iklan sepatu Bally itu hingga Bung Hatta meninggal dunia masih tersimpan dan menjadi saksi keinginan sederhana dari seorang Hatta yang ingin memiliki sepatu berkualiti dengan jenama prestij yang tidak tercapai.

 

Sebenarnya sangatlah mudah bagi Bung Hatta apabila meminta tolong kenalan Dubes (Duta Besar) atau pengusaha untuk membeli sepatu Bally. Namun di sinilah letaknya sebuah keistimewaan Bung Hatta. Ia tidak mahu meminta sesuatu untuk kepentingan sendiri dari orang lain. Ia memilih jalan sukar dan lama yang ternyata gagal  kerana Bung Hatta mendahulukan orang lain daripada kepentingannya sendiri.

 

Hasrat memiliki sepatu Bally dibawa hingga kepergiannya untuk selama-lamanya. Bung Hatta meninggalkan guntingan iklan dan teladan besar iaitu sikap mendahulukan orang lain, sikap menahan diri dari meminta hibah, bersahaja dan membatasi konsumi pada kemampuan yang ada dan kalau belum mampu harus berdisiplin dengan tidak berhutang dan kemudian bergantung kepada orang lain.

 

Seandainya bangsa kita dapat meneladani karekter mulia proklamator kemerdekaan ini tidak mungkin bangsa dengan sumber alam yang melimpah menjadi bangsa terbelakang, melarat dan nista kerana tradisi berhutang dan meminta sedekah orang lain. Sekarang kita menjadi salah satu bangsa penghutang terbesar di dunia sambil ’gali lubang, tutup lubang’. Terus berhutang sepanjang tahun dan harus menagih simpati negeri asing untuk memohon keringanan kewajiban ansuran hutang luar negeri yang mencekik leher rakyat. Salah urus pentadbiran ekonomi dan politik kita telah membuat negeri kita yang kaya ini sarat dengan kesengsaraan rakyat dan skandal korupsi. Kita sebenarnya saat ini tidak belajar ’Cara Baik Bung Hatta’.

 

Padahal Bung Hatta mengajarkan cara baik. Ia hadir dengan sikap kerakyatan, jujur dan memegang amanat, tidak haus kekuasaan, berjiwa demokratis dalam politik dan berjuang sepanjang hidupnya untuk menegakkan demokrasi ekonomi. Bung Hatta adalah nasionalis tulen yang berpendirian pentingnya kita menjadi ’tuan di negeri sendiri’. Bung Hatta juga meletakkan kepentingannya ’membangun daya beli rakyat’ sebagai tujuan utama ekonomi Indonesia merdeka. Ia menolak meneruskan cara kolonial yang sekadar menumbuhkan ekonomi untuk melayani pasaran dunia. Fahaman ekonomi itulah yang membezakan Bung Hatta dari cara pemikirannya dengan tokoh lain. Bung Hatta menekankan pemberdayaan ekonomi rakyat dalam semangat kebersamaan dan prinsip kemandirian dengan menganjurkan industrialisasi berasaskan sumber daya setempat. Kehormatan bangsa adalah fungsi dari kemandiriannya. Bangsa yang hidupnya bergantung kepada bangsa-bangsa lain, bukan bangsa  yang terhormat dan  bermartabat.

 

Semangat kemandirian adalah sebahagian dari cara baik Bung Hatta yang dianjurkan dan dijalankan dalam kehidupan peribadi dan keluarga. Ia teladan dalam kepimpinan bangsa. Ia juga ikutan bangsa yang sentiasa ’satu kata dengan perbuatan’.

 

PENGERAN DEMOKRASI

 

Seorang demokrat tulen yang menghormati kehendak ramai, beliau sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat. Beliau mundur dari jawatan no.2 negara semata-mata tidak bersetuju dengan Presiden Soekarno yang mula menjadi diktator, keputusan yang tidak dapat dipujuk-pujuk oleh sesiapa pun. Kehidupannya sederhana ketika dan sesudah menjadi pembesar negara. Wang pencennya terlalu kecil untuk menampung kehidupan sehingga dinaikkan kemudian di zaman ’orde baru’ Soeharto.

 

Tokoh negarawan ulung yang tinggi ilmu dan kuat berpegang kepada agama dan berpesan untuk dikuburkan di tengah-tengah rakyat bukan di Makam Negara akan terus dikenang oleh sesiapa pun yang mengenali beliau.

 

Pemimpin besar rantau yang sering memakai jaket (jas) putih itu dirindui ramai hingga ke hari ini. Seorang yang fanatik kepada ketepatan waktu diingat orang sampai bila-bila beliau dikatakan amat tidak senang dengan sesiapa pun termasuk keluarga sendiri yang kelewatan dalam sebarang acara. Pendatang lewat dalam mana-mana acaranya akan ditegur keras oleh beliau.

 

Buku adalah teman sehariannya. Beliau meninggalkan sebuah koleksi buku-buku bernilai tinggi di perpustakaan peribadinya. Bukulah dijadikan hantaran sewaktu mengakhiri zaman bujang dan mengahwini gadis pilihannya.

 

Mengapa kita tidak boleh belajar menjadi Hatta –Jadilah ’Hatta kecil’ yang belajar dari sejarah, kendati pun tidak mungkin dapat mengikuti setiap jejak langkah yang ideal itu.

 

 

 

 

M. Anuar Tahir

Alor Star, 4 Januari 2009

Share/Save/Bookmark

, , , , , , ,

RSS Feed