SELAMAT DATANG 1430 HIJRAH
December 28th, 2008 by admin
Alangkah bahagianya merayakan kedatangan Awal Muharam – Maal Hijrah sekali lagi dalam keadaan sihat dan sejahtera.
Memasuki tahun baru Hijrah dan menyaksikan sendiri sambutan Awal Muharam 2 kali dalam tahun Masehi 2008. Kali pertama kita mengalu-alukan ketibaan 1429 Hijrah pada 10 Januari 2008 dan buat kali kedua pada 29 Disember 2008 kita menyambut 1430. Fenomena ini dikatakan berlaku sekali setiap 300 tahun masehi. Alhamdulillah kita ditakdirkan berada di alam buana ini untuk menyaksikan fenomena luar biasa ini (ketepatan takwim hijrah berbanding Calendar Gregorian).
Maal Hijrah atau Bersama Hijrah amat besar sekali maknanya. Hijrah adalah pengalaman pembebasan – liberation bila ditinjau dari sudut pandang historikal mahupun spiritual. Musa a.s telah membebaskan kaumnya dari penindasan Firaun. Musa a.s membawa kaumnya berhijrah keluar dari kegelapan menuju pencerahan.
Lut a.s sepupu Ibrahim a.s yang beriman dan mengiktiraf kerasulannya menyatakan kesediaan hijrah inni muhajirun ila Rabbi (ku tinggalkan kediamanku demi Allah justeru Dia Maha Berkuasa lagi bijaksana).
Sesungguhnya intisari dari Hijrah itu tetap sama – mereka yang dibelenggu ditindas : membebaskan diri dari golongan yang menzalimi lalu maju bergerak menuju pembebasan. Hijrah adalah proses unggul sebagai modus operandi menuju pembebasan abadi. Gerakan liberatif ini juga telah dibawa oleh Muhammad s.a.w yang kemudian digema lanjutkan lagi oleh Abu Bakar Al-Siddiq r.a dan Umar Al-FAruq r.a.
Hijrah adalah berpindah dari pengabdian kepada tuhan-tuhan palsu yang bernama kekuasaan, kekayaan, kefanatikan – meninggalkan semua kejahatan, kebatilan, kedustaan dan segala bentuk cara hidup yang tidak beretika.
Dari semangat Hijrah kita perlu merancang dengan sebaik-baiknya untuk membebas dan memerdekakan jiwa.
Sesungguhnya Rasulullah telah merancang penghijrahannya ke Madinah bukan secara adhoc tetapi dengan teliti sekali. Rasulullah bukan seorang yang fatalistik Cuma berserah kepada pertolongan takdir semata-mata. Kepercayaan dan keyakinannya kepada Allah tetap absolut. Namun beliau tetap merancang dan berusaha secara maksimal.
Dalam keadaan bagaimana pun beliau tetap tidak lupa untuk mengucapkan InsyaAllah bila mana beliau merancang untuk mengambil sesuatu tindakan kerana itu adalah ingatan Allah kepada beliau.
Rasulullah merancang penghijrahan Akbar ke Yathrib sesudah Hijrah para sahabat ke Habshah. Perancangan Hijrah ke Yathrib itu mengambil masa 2 tahun. Seluruh kemampuan naluri dan intelegensia juga seluruh kemampuan sumber daya insan dimanfaatkan. Menggarap seluruh kualiti intelektual, spiritual, psychological, sentimental dan kemudiannya pasrah kepada ketentuan Allah jua. Itulah sebenarnya makna At Tawakkul ala Allah.
Dengan penuh strategi Rasulullah meninggalkan Makkah ke Yathrib mengikut arah ke Yemen bersama Abu Bakar r.a pada suatu malam. Abu Bakar r.a menyediakan seekor unta yang dinamakan oleh Rasulullah, Qaswa – beliau berkeras membayar harganya.
Beliau mengembalikan semua amanah yang diberikan oleh para penduduk Makkah kepada beliau dan melunaskan semua hutang-hutangnya sebelum berangkat untuk Hijrah.
Bergerak ke selatan Makkah walhal Yathrib di utara beliau didampingi oleh Abu Bakar r.a bersembunyi di gua Thawr Anak-anak Abu Bakar, Abdullah mengumpul maklumat, Asma’ dan Aishah memasak dan secara rahsia menghantar makanan ke gua. Abu Bakar r.a mencadangkan perkhidmatan seorang Badwi yang bukan Islam Abdullah Ibn Urayqat sebagai penunjuk jalan dan dipersetujui oleh Rasulullah. Dengan semua perancangan yang teliti itu berlaku Hijrah Al-Akbar kekasih Allah ke Yathrib, Madinatul Munawarah dan bermulalah detik-detik perlaksanaan Islam dan tertegaknya syariat Islam sepenuhnya.
Selamat datang 1430 Hijrah – Ahlan Wa Sahlan Wa Barakatan. Kami berjanji untuk tidak mensia-siakan kedatanganmu akan kami manfaatkan dengan semangat bersama Hijrah sebaik-baiknya untuk diri, keluarga, organisasi, nusa bangsa, agama dan negara.
M. Anuar Tahir
Alor Star
1 Muharam 1430 Hijrah
- No Comments »
- Posted in Wacana






