Pucuk Hijau - Blog Kedah Agro Holdings

Wacana Isnin - MEMBANGUN INTEGRITI DIRI

November 23rd, 2008 by admin

 Mukaddimah

 

Kata integriti berasal dari Bahasa Latin ‘integritas’ yang bermakna wholeness. Menurut The New Lexicon Webster Encyclopedic Dictionary of The English Language, integrity adalah : n ; moral soundness, probity. Wholeness, completeness. To perform a work in its integrity. The quality of state of being unimpaired.

 

Dalam membicarakan soal integriti ‘diri’ ini saya ingin membicarakan beberapa konsep kunci antara iman, khalifah dan amanah.

 

Menurut Fazlur Rahman Prof. Pemikiran Islam University of Chicago erti amanah itu dikaitkan dengan fungsi kekhalifahan manusia sementara syaitan pula  diertikan sebagai ‘sebuah kekuatan anti manusia yang terus-menerus berusaha untuk menyesatkan manusia dari jalan yang lurus, yang harus ditempuhnya sehingga ia terperosok kepada perilaku yang sesat’. Jalan lurus yang dimaksudkannya itu adalah sirat al mustaqim berkait dengan konsep amanah.

 

Amanah adalah sebuah kata yang plastis atau bersayap (meminjam istilah H.B Jassin). Setiap hal yang berkaitan dengan masalah tugas dan tanggungjawab atau hak dan kewajiban dapat dirujuk kepada prinsip amanah sebagai nilai dasarnya (Sidi Gazalba). Beliau mencantumkan prinsip amanah sebagai salah satu kaedah dasar dalam tata kehidupan masyarakat. Muhammad Immaduddin Abdurrahim pernah mengatakan bahawa ‘demokrasi itu adalah amanah Tuhan’. Kemerdekaan, kebebasan dan tugas kekhalifahan manusia, adalah amanah Tuhan yang harus ditunaikan sebaik-baiknya, sebagai bahagian dari iman. Amanah adalah salah satu prinsip kepemimpinan Nabi Muhammad S.A.W yang memiliki 4 ciri kepemimpinan ; siddiq (jujur), fatanah (cerdas dan berpengetahuan), amanah (dapat dipercaya atau diandalkan) dan tabligh (berkomunikasi dan komunikatif).

 

Fazlur Rahman menjelaskan bahawa amanah itu mempunyai akar kata yang sama dengan iman iaitu alif, mim, nun yang ertinya ‘damai dengan dirinya sendiri’ atau ‘merasakan tiadanya goncangan dalam diri seseorang’. Dalam surah Al-Imran, ayat 75, Allah menceritakan tentang orang yang dapat dipercayai, dinilai sebagai orang yang mampu menjaga amanah sekali pun ditangannya dipercayakan harta yang bernilai besar. Adapun lukisan orang yang tidak boleh memegang amanah adalah mereka yang sekali pun dipercayai wang 1 dinar sahaja, ia mengkhianati amanah itu. Orang yang memegang amanah tidak mahu berlaku curang kerana sekali pun mereka bisa menipu namun mereka tidak mahu melakukannya. Kerana mereka tahu bahawa Allah akan memperhitung perbuatan mereka. (Ensiklopedi Al-Quran, M.Dawam Rahardjo).

 

Pandangan Sarwa Alam Melayu Dalam Pantun Klasik

 

Sekiranya diamati pantun-pantun Melayu klasik akan ditemui sejumlah besar puisi-puisi lama yang membicarakan tentang budi, tentang adab dan pekerti. Dari pantun-pantun yang halus dan dalam maknanya itu tergambar worldview manusia Melayu betapa tingginya penghormatan ke atas makna dan jatidiri bangsa.

 

 

Antara pantun Melayu terawal yang ditemui terdapat dalam Hikayat Raja-Raja Pasai yang dikarang sekitar tahun 1326 ;

 

          Lada siapa dibangsalkan

                   Rana saujana kerati

          Pada siapa disesalkan

                   Tuan juga empunya pekerti.

 

          Lada siapa dibangsalkan

                   Selama lada sakerati

          Pada siapa disesalkan

                   Tuan juga empunya pekerti.

 

Perhatikan pula pantun-pantun yang lain;

 

          Berguru ke padang datar

                   Dapat rusa belang kaki

          Berguru kepalang ajar

                   Ibarat bunga kembang tak jadi.

 

          Ada padi adalah beras

                   Bertanak nasi periuk tembaga

          Ada budi adalah balas

                   Orang berbudi kita berbahasa.

 

          Ada satu panglima Barat

                   Matanya merah rupanya jahat

          Tanggungan budi jikalau berat

                   Baik segera balaskan cepat.

 

          Ada seekor burung helang

                   Suka bertenggek di atas carang

          Hancur daging bercerai tulang

                   Budi yang baik baharulah hilang.

 

          Burung serindit terbang melayang

                   Mari hinggap diranting mati

          Bukan ringgit pandangan orang

                   Pandangan atas bahasa budi.

 

          Di sana padi di sini padi

                   Padi huma dari seberang

          Di sana budi di sini budi

                   Barulah nama disebut orang.                          ( Karya Agung, Pantun Melayu )

 

 

Bagi saya, pantun-pantun yang berkaitan dengan budi ini yang dikarang oleh orang di zaman silam sarat dengan makna integriti diri. ‘Budi’ pada hemat saya punya pengertian yang luas dan ia adalah manifestasi integriti diri yang diperkatakan oleh orang sekarang.

 

Manusia-Manusia Besar Di Rantau Ini

 

Antara tokoh-tokoh yang sangat saya kagumi ialah Dr. Burhanudin Al-Helmy seorang ulama intelektual Melayu yang amat terkenal di zamannya. Kepeloporannya di dalam berbagai bidang, pemikiran dan aktivisme yang mendahalui zaman sukar ditandingi. Semangat juang, kehalusan pekerti, keberanian, ketegasan dan kecerdasannya memang unik sekali. Namun kehidupannya amat sederhana dan jauh dari sebarang kemewahan dunia. Kembali ke rahmatullah tanpa meninggalkan harta tapi sarat dengan warisan perjuangan dan ilmu pengetahuan buat umat.

 

Demikian pula dengan seorang lagi ikon umat di rantau ini. Muhammad Hatta pendeklamator bersama kemerdekaan Indonesia. Dari berbagai anekdot kehidupan beliau saya sangat terkesan dengan kisah Bung Hatta dan keinginan memiliki sepatu ‘Bally’ di tahun 1950-an. Hingga akhir hayatnya sepatu idaman itu tidak dapat dibeli kerana tabungannya tidak mencukupi. Bila beliau meninggal, guntingan iklan sepatu buatan Itali itu masih  tersimpan dan menjadi saksi keinginan hati seorang Hatta yang ingin memiliki sepatu berkualiti tinggi tidak kesampaian. Pencen Naib Presiden RI tidak cukup untuk membayar bil air dan elektrik rumahnya di Jakarta dan beliau mengakhiri hidupnya dalam keadaan yang serba sederhana. Demikian manusia-manusia besar yang berintegriti.

 

 

Pencerahan Diri Menerusi Integriti

 

Dengan kata lain, integriti diri itu boleh disimpulkan sebagai peribadi mulia yang menghayati nilai-nilai yang berikut :-

 

*      Amanah, adil, ikhlas, taqwa.

*      Bertanggung jawab, berdisiplin, jujur, telus, tegas, tidak rasuah.

*      Toleran, sabar, pengasih, pemaaf, berlapang dada.

*      Cintakan : kebenaran, keadilan, makruf, idealisme tinggi, ilmu dan keterampilan.

*      Benci : kepuraan, kezaliman, kemungkaran, kemaksiatan.

*      Sederhana dalam kehidupan, tidak boros, tidak hasad, tidak tamak haloba, sentiasa bersyukur dan pemurah.

 

Faktor utama yang membawa kemerosotan integriti adalah diri sendiri. Diri yang lemah memahami / menghayati agama, diri yang lemah menghayati nilai-nilai mulia, lemah disiplin dan etika kerja, mementing diri sendiri, sentiasa melihat kelemahan orang lain, tidak mahu muhasabah diri. Diri yang tidak boleh diteladani dan dihormati oleh orang lain, termasuk orang bawahan, rakan sekerja, orang atasan, sanak saudara, kawan-kawan dan keluarga.

 

 

 

 

 

 

 

Khatimah

 

Buah cempedak di hutan diri

          Jatuh sebiji dimakan ulat

Jikalau tidak bahasa dan budi

          Apa guna kaya berdaulat.

 

Bunga melati bunga di darat

          Bunga seroja di tepi kali

Hina besi kerana karat

          Hina manusia tidak berbudi.

 

*****

Untaian kata santun termaktub

          Buat pembuhul permata warisan

Pantun ini pantun penutup

          Semoga menyusul di lain bingkisan.

 

 

Wallahualam.

 

 

                                                                                             M. Anuar Tahir

Alor Star

 


22 November 2008

Share/Save/Bookmark

, , , , , , ,

  • Comments Off
    1 Star2 Stars (No Ratings Yet)
    Loading ... Loading ...
  • Posted in Wacana

RSS Feed