Pucuk Hijau - Blog Kedah Agro Holdings

Lawatan YAB Dato’ Seri Azizan Abdul Razak ke sangkar ikan Talapia di Pulau Banding

February 2nd, 2010 by admin

Hj. Anuar Tahir, Ketua Eksekutif Kumpulan Kedah Agro dan En. Wan Kharizal Wan Khazim, Pengurus Besar Kumpulan Kedah Agro telah mengiringi lawatan YAB Menteri Besar Kedah Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak ke Pusat Penternakan Ikan Talapia di Tasik Banding, Perak.  Pusat Penternakan Ikan Talapia ini diusahakan oleh sebuah syarikat kerjasama diantara Malaysia dan Norway - Trapia (M) Sdn. Bhd.

Turut serta dalam lawatan ini ialah YB Dato’ Haji Amiruddin Hamzah,  Pengerusi JK Industri & Pelaburan, Pertanian & Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Penerangan, pegawai-pegawai kanan Pejabat Menteri Besar, Jabatan Perikanan dan para usahawan.

Setelah diberikan taklimat mengenai projek ini,YAB Menteri Besar dan anggota rombongan telah dibawa melihat sangkar terapung yang terletak didalam kawasan Tasik Banding serta melawat pusat Nurseri bagi projek pemeliharaan ikan talapia ini yang terletak berdekatan.

Share/Save/Bookmark

, , , , , , , , , , ,

Keli tak halal dan tak organik

May 19th, 2009 by admin

‘Kita hanya jual di luar Perak’ - Ternak ikan keli untuk ‘membersihkan’ air kumbahan dari ladang babi


SEORANG penduduk, Azmi Yunus menunjukkan salah satu kolam ternakan ikan keli yang menggunakan air kumbahan babi di sebuah kawasan dekat Ipoh semalam.




IPOH - Sanggupkah anda menjamah hidangan ikan keli yang membesar dengan zat air kumbahan dari ladang babi?

Jika tidak, anda harus memastikan ikan keli yang dimakan selepas ini bukan diternak di salah satu daripada 10 kolam ternakan itu yang diusahakan bersebelahan sebuah ladang ternakan babi di negeri ini.

Bagi penduduk berhampiran, penternakan ikan keli oleh pengusaha ladang tersebut tidak lebih sekadar untuk ‘membersihkan’ air sisa kumbahan babi sebelum ia dilepaskan ke saliran utama berhampiran beberapa kawasan perumahan di situ.

Wartawan dan jurugambar Kosmo! yang berjaya memasuki ladang tersebut semalam, terkejut melihat air kolam-kolam ternakan itu berwarna hijau lumut dan keadaannya jauh berbeza dengan air kolam ternakan ikan keli di tempat lain.

Menurut seorang lelaki yang mendakwa pemilik ladang babi tersebut, ikan-ikan keli yang diternak di kawasan seluas empat hektar itu bukan untuk pasaran tempatan sebaliknya untuk dijual di luar Perak.

“Kita tidak jual sini, semua luar Perak. Sini susah, orang dekat sini sudah bising pasal ladang (babi),” katanya yang enggan dikenali.

Dia enggan menjelaskan di mana ikan keli terbabit dipasarkan tetapi mengakui benih-benih ikan itu diperoleh daripada seorang pemborong di sini.

“Kenapa banyak tanya, saya kata kita tidak jual kepada orang sini (tempatan), awak kalau mahu, beli di tempat lainlah,” katanya sebelum meminta kami beredar.



Berdasarkan tinjauan, setiap kolam berkenaan mempunyai dua paip saliran, paip masuk dan keluar yang berfungsi mengalirkan air kumbahan kandang babi yang kemudiannya terus ke dalam parit di sebelah ladang terbabit.

Sisa dan air kumbahan yang disalurkan ke dalam kolam dipercayai mendap ke bawah dan menjadi ‘makanan’ ikan manakala mendapan itu pula menyebabkan permukaan kolam seolah-olah diselaputi lumut.

Dianggarkan lebih 100,000 ekor ikan keli diternak di 10 kolam yang dikawal rapi dan tidak boleh dimasuki pihak luar.

Share/Save/Bookmark

, , , , , , ,

Beribu bangkai ikan terapung

May 2nd, 2009 by admin

MALIM – Beberapa penangkap ikan putus sumber rezeki apabila beribu-ribu ikan tilapia di Sungai Melaka yang selama ini menjadi mata pencarian mereka mati secara tiba-tiba semenjak awal pagi semalam.

Salah seorang daripada mereka, Md Shah Talib, 51, berkata, dia mendapati ikan-ikan di sungai berkenaan mula mati pagi semalam tetapi menjelang petang, jumlah yang mati semakin bertambah.

Menurutnya, walaupun ini bukan kejadian kali pertama, namun kejadian semalam adalah yang paling teruk.

“Saya percaya kematian ikan-ikan ini kemungkinan berpunca daripada pelepasan sisa-sisa dari kilang-kilang di kawasan ini kerana sungai ini mengalir di tengah-tengah kawasan perindustrian ini.

“Sudah banyak kejadian serupa berlaku semenjak tiga empat tahun lalu, tetapi yang ini nampaknya lebih serius. Dari apa yang saya lihat, saya rasa dua atau tiga tan ikan yang menjadi mangsa,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini petang semalam.

Tinjauan Sinar Harian ke tempat kejadian mendapati permukaan air berhampiran sebuah empangan di kawasan berkenaan dipenuhi dengan bangkai ikan yang sudah mula berbau busuk.

Pada masa sama, kelihatan banyak lagi bangkai ikan yang terapung di bawa arus ke kawasan berkenaan.

Menurut Md Shah, dia kecewa kerana walaupun perkara ini pernah dilaporkan media, masih tidak ada tindakan diambil terhadap kilang-kilang yang melepaskan sisa kilang ke dalam sungai itu.

Menurutnya, beliau pernah menghubungi Jabatan Alam Sekitar (JAS) tetapi diminta merujuk kepada Jabatan Parit dan Saliran (JPS). Bagaimanapun, apabila dia melakukan demikian, pihak berkenaan memberitahu sebaliknya.

“Ini bukan tuba tetapi saya percaya sisa toksik kilang. Kalau ikan kena tuba, bukan begini rupanya. Ikan-ikan ini semua sudah mati dan ini bermaksud terdapat racun dalam sungai.

“Tiada guna ada undang-undang sekiranya tidak dikuatkuasakan. Saya berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana kilang yang bertanggungjawab,” kata Md Shah.

Md Shah yang sering menjala ikan di sungai itu sebagai punca pendapatan berkata, secara purata, dia boleh mendapat antara 60 ke 70 kilogram ikan setiap kali menjala.

Menurutnya, bukan sahaja ikan tilapia, malahan ikan patin dan udang galah turut boleh diperoleh.

“Tidak mustahil semua spesies ini akan hilang satu hari nanti kalau pencemaran sebegini berterusan. Sekarang ini saya tidak tahu di mana mahu mencari rezeki lagi kerana saya percaya ia akan mengambil masa tiga atau empat bulan sebelum keadaan di sini pulih,” katanya.

Share/Save/Bookmark

, , , , , ,

RSS Feed