February 2nd, 2010 by admin

Seorang staf menghempas-hempas fail dan mencampak dokumen-dokumen di atas mejanya sambil mendengus sesudah menerima arahan dari atasannya. Rakan-rakan sekerja lain memerhati dan mula membuat berbagai tafsiran, anda akan kaget jika mengetahui berbagai tanggapan yang terbit dari sebuah peristiwa ‘komunikasi’ yang sekecil itu. Ada yang menganggap bahawa staf tersebut membenci atasannya, ada yang menganggap staf tersebut benci dengan semua orang sekelilingnya. Mungkin moodnya kurang baik hari itu kerana dia baru berkelahi dengan isterinya atau geram dengan bapa mertuanya yang sering menyindir-nyindir dirinya. Ada pula yang menganggap bahawa staf tersebut sengaja mahu menunjukkan garang dan kasarnya. Samseng lagi gedebeh. Rakan-rakan mungkin menganggap beliau memberikan isyarat ‘jangan main-main dengan aku’. Tafsiran-tafsiran seumpama ini bakal menjadi bahan gosip yang akan memakan waktu berminit-minit atau berjam-jam di pejabat anda. Ada yang mula berbisik-bisik, berkumpul dan bersembang mengenainya ada yang mula mengirim sms atau berchatting di internet dari sebuah meja ke sebuah meja yang lain. Dari sebuah komunikasi dan monolog tanpa kata oleh seorang teman di pejabat akan terbentuklah sebuah citra yang tidak enak mengenai seseorang. Maka proses labeling pun berlaku ke atas staf tadi. Dia akan di anggap si baran, punya angin satu badan, ponggah, tidak sesuai dibuat kawan. Seorang yang suka tunjuk terror, seorang pemberontak (kalau atasannya dibantah, bagaimana dengan kawan-kawan yang lain), boleh memalukan kita di depan khalayak. Tidak cukup gosip secara mulut dan elektronik, beredar keseluruh pejabat dari satu jabatan ke jabatan yang lain malah akan ada yang akan bergosip keluar pejabat dari sebuah telefon genggam ke telefon lain dari sebuah laptop ke sebuah black berry yang lain. Ini zaman digital – zaman siber semua boleh tersebar dalam beberapa detik sahaja.
Bayangkan berapa ramai orang bakal terlibat dengan gosip ini yang bergerak pantas, marak bagaikan api yang menyala di tanah lapang berumput kering bila mana ada pula di kalangan sang penggosip kelas berat yang mampu mendramatikkannya ke satu peringkat yang lebih controversial lagi. Ada orang punya kebolehan untuk mengadu domba memecahbelahkan kesatuan, menggerhanakan persahabatan dan kasih sayang. Kebolehan ini barangkali telah dipupuk sejak kecil, kadang-kadang ia datang dari seorang yang berasal dari keluarga yang pecah (broken family) yang menjadikannya seorang yang sangat possessive sentiasa merasa kehilangan dan mahu memiliki semuanya dalam setiap kesempatan yang ada. Malah, kalau tidak mendapatkan semuanya dia sanggup saja menghancurkan segalanya. Sang penggosip kelas berat ini sebenarnya kesunyian sepi dan memerlukan perhatian. Dia sepatutnya didekati, disayangi dan dijauhi dari tabiat bergosip yang kadang-kadang bisa menimbulkan kegawatan, ambruk, geger dan selanjutnya membenihi office politics yang tidak sihat.
Ada orang menyebut office politics seperti berikut:
“Is the use of one’s individual or assigned power within an employing organization for the purpose of obtaining advantages beyond one’s legitimate authority. Those advantages may include access to tangible assets, or intangible benefits such as status or pseudo-authority that influences the behavior of others. Both individuals and groups may engage in Office Politics.
Office politics differs from office gossip in that people participating in office politics do so with the objective gaining advantage, whereas gossip is often used by an individual to place themselves at a point where they can control the flow of information and therefore gain maximum advantage.
Office politics also refers to the way co-workers act among each other. It can be either positive or negative.
Office politics adalah sesuatu yang tidak terelakkan ia akan wujud di mana-mana dalam sebuah organisasi yang kecil, sederhana mahupun besar. Penulis sendiri pernah menjadi pemimpin utama sebuah institusi pendidikan di sebuah bandar di negara ini dari tahun 1975 sehingga 1980. Di situ penulis telah mengabdikan diri untuk menggerakkan sebuah sekolah swasta yang memberikan peluang kedua bagi pelajar-pelajar yang keciciran dan bermasalah. Dengan sepasukan guru-guru yang berdedikasi kami berhasil membesarkan sebuah institut pengajian swasta yang pada mulanya hanya disertai oleh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun, akhirnya meningkat menjadi sebuah institut pembelajaran swasta yang mempunyai lebih 1000 orang pelajar di tiga sesi pagi, petang dan malam. Di sebuah organisasi yang semurni itu pun tidak dapat membebaskan diri dari office politics namun ia tidak pernah sampai memecahbelahkan kami. Para guru yang punya latar pengajian di institusi yang berlainan ITM, UM, UKM, UPM, dan UMPAD Bandung tidak dapat mengelak diri dari group feeling masing-masing. Selain daripada pemimpin-pemimpin formal wujud pemimpin-pemimpin tidak rasmi yang juga jadi opinion leader. Mantan pimpinan dan guru-guru, intitusi tersebut kini menduduki posisi-posisi yang strategik dalam negara. Ramai yang sudah bersara dari perkhidmatan di berbagai jabatan dalam perkhidmatan awam dan ada di antara mereka yang sudah pun kembali menemui Sang Pencipta (Allah hummagh fir lahum warhamhum wa’a fihi wa’ fu’an hum).
Penulis pernah juga menjadi ketua eksekutif di sebuah badan nasional yang mempunyai anggota lebih dari seratus ribu orang sebagai setiausaha agung sepenuh masa di organisasi tersebut. Penulis mengurus dan menyelia secara langsung dan tidak langsung ke atas hampir 200 orang pekerja sebuah organisasi kebangsaan yang punya jaringan keantarabangsaan. Di situ penulis telah mengabdi diri sebagai seorang aktivis sepenuh masa di sebuah badan sukarela, khidmat sosial yang menggembleng ramai tenaga muda Islam di negara ini. Dalam sebuah organisasi yang disertai oleh orang-orang baik yang sentiasa menekan proses tarbiyah dan ta’adib, kami telah memilih sejumlah pemimpin, pengurus, pekerja yang tentunya menepati kehendak dan cirri-ciri organisasi sebegini. Para petugas sering mangadakan pertemuan menyertai halaqah-halaqah, perjumpaan-perjumpaan usrah, menyertai retreat tahunan, menghadiri seminar-seminar pendidikan, lawatan bersama, mukhaiyyam dengan suasana ukhuwah yang dapat dirasakan. Namun sebagai sebuah organisasi yang anggotanya tiada seorang pun malaikat tetapi semuanya manusia belaka, kita juga menghadapi gejala sama. Di pejabat pusat mahupun di pejabat-pejabat negeri dan wilayah tidak pernah terlepas dari gosip dan office politics. Walaubagaimanapun kami tetap diikat oleh matlamat da’awah yang sama dan perpecahan akibat salahfahaman, gosip dan office politics hilang ditelan masa. Kemesraan dan persahabatan kekal utuh.
Penulis sendiri pernah berdepan dengan satu krisis yang berpunca daripada beberapa orang dari sebuah jabatan popular yang mulai mewujudkan semacam organisasi dalam organisasi. Gosip dan office politics mulai menjalar dan akhirnya untuk membendung dari keadaan yang lebih buruk penulis telah mengambil langkah-langkah remedi yang tegas termasuk tindakan disiplin memberhentikan beberapa orang pekerja dan memutuskan sebuah jaringan yang bakal menggugat kestabilan dan kelangsungan organisasi. Penulis hingga ke hari ini sedih mengenangkan peristiwa-peristiwa pahit yang terpaksa dilalui. Namun semua mereka yang terlibat dalam peristiwa-peristiwa tahun 80an itu tetap menjadi saudara dan sahabat walaupun ia tidak akan sama seperti masa awal persahabatan kami dahulunya.
Di tahun 90an penulis ditakdirkan menjadi ketua eksekutif sebuah yayasan yang ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia yang para pekerjanya terdiri dari berbilang kaum. Jawatan CEO di yayasan tersebut di ambil alih penulis dari seorang berbangsa Tionghwa, mantan seorang Ketua Pengarang sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris. Bahkan, apabila penulis meletakkan jawatan dari organisasi tersebut bagi membolehkan penulis berpartisipasi dalam pentas politik nasional (dimana penulis sering mengaggap diri sebagai a reluctant politician) tempat sebagai CEO di yayasan tersebut digantikan oleh seorang mantan pegawai tinggi kerajaan berketurunan India. Dalam organisasi yang sebegitu, office politicsnya lebih hebat lagi, kelainan kepercayaan dan ideologi menjadikan tidak mudah menangani masalah-masalah yang wujud di sana. Salah seorang Pembantu Projek adalah seorang wanita muda Tionghwa yang tunanetra (OKU Penglihatan), seorang Pengurus Projek keturunan India, seorang biarawati (nun), seorang Pengurus Projek lain seorang wanita Tionghwa graduan KTAR, beberapa orang gadis dari Johor dan anak saudara seorang M.B. dan sejumlah pekerja-pekerja Melayu lain. Office politics yang melibatkan kepelbagaian kepercayaan dan latar belakang adalah rumit tetapi ia tetap dapat ditangani sekiranya kita mengambil langkah-langkah positif dan profesional.
Apabila penulis diamanahkan menjadi ketua eksekutif di sebuah parti politik nasional mulai 1988 sekali lagi sebagai setiausaha agung sepenuh masa penulis telah mendapat pengalaman office politics yang luar biasa. Maklumlah organisasi yang diurus itu disertai oleh manusia-manusia politik yang kerenahnya bermacam-macam. Gosip, tohmah, fitnah jadi cara hidup orang-orang politik yang tidak beretika. Office politics disebuah parti berbilang bangsa, agama tentu lebih rencam dan rumit. Penulis amat bersyukur kerana ditakdirkan berada di sana untuk beberapa tahun menimba pengalaman mahal: pahit, getir memimpin dan mengurus manusia-manusia politik yang berbagai ragam itu. Walaupun organisasi itu ditinggal oleh penulis kemudianya namun ramai dari sahabat-sahabat yang masih di sana dan saya tetap hormat dan mengasihi mereka. Bagi golongan yang memusuhi saya jauhi – itu saja.
Office politics kalau tidak ditangani dengan betul boleh membawa kepada keadaan berpuak-puak (cliquish) yang membawa unsur-unsur negatif sekiranya kepuakan itu mewujudkan sikap diskriminasi. Tiada siapa yang dapat menghalang seseorang untuk punya positive group feeling yang berasaskan kepada latar belakang daerah, pengajian yang sama. Seseorang itu juga bebas untuk lebih akrab dengan seorang yang lain tetapi ia jangan sampai menyingkir atau mengenepikan yang lain, sentiasa berbaik sangka (husnul zan) kepada sesama teman sejawat, jangan banyak berahsia, jangan terlalu mudah menerima sebarang berita kerana kadang-kadang ia hanya tafsiran dan sama sekali tidak benar, selalu bersikap positif dan menerima seseorang itu seadanya. Jangan berhenti berkomunikasi, terus berkomunikasi kerana sebagai seorang pelajar komunikasi bagi penulis perkara yang paling payah dalam hidup ini ialah berkomunikasi dengan orang lain. Komunikasi selalu mudah disalah tanggapi. Kita bermaksud baik tetapi selalunya dianggap buruk. Kita maksudkan yang lain tetapi boleh ditanggapi sebagai suatu yang lain pula.
Justeru itu, perbanyakkan komunikasi yang berkesan tapi bukan gosip yang keterlaluan atau boleh menyentuh perasaan atau melukakan hati seorang teman apatah lagi rakan sejawatan yang bersama-sama dengan kita sembilan jam sehari. Ingatlah salah satu dosa yang tidak ditakuti orang ialah ghibbah iaitu ucapan, kelakuan, isyarat dengan alis mata, kening, mulut, tangan dan sebarang isyarat yang tidak menyenangkan atau menyakiti hati orang lain. Ghibbah termasuk kata-kata buruk atau kejian atau umpatan kepada saudara yang lain. Dosa ghibbah itu amat besar dan jelik sekali. Rasulullah mengambarkan golongan pengumpat atau pengkeji itu sebagai seorang yang sanggup memakan daging dari tubuh seorang yang lain. ‘Manusia makan manusia’ adalah suatu yang memualkan. Seharian kita beribadah, berzikir, berpuasa sunat, mengerjakan solat-solat nawafil, dan berbagai amal-amal soleh yang lain, janganlah sampai semua pahala itu terhakis oleh gejala ghibbah yang sentiasa melekat dalam jiwa dan sanubari. Marilah berpegang kepada buhul ikatan persaudaraan akidah dan persaudaraan manusia untuk membangun organisasi yang damai, sakinah sama seperti sebuah rumah tangga yang kita impikan. Ingatlah kita bersama teman-teman di pejabat secara aktif sembilan jam sehari, kadang-kadang lebih lama dari bersama anak-anak, adik-adik, suami atau isteri kita. Kita pulang ke rumah untuk berehat, secara aktif kita hanya bersama keluarga untuk beberapa jam sahaja dihari-hari kerja. Oleh itu slogan idaman kita tidak cuma ‘Rumahku Syurgaku (Baiyyiti Jannati)’ tetapi juga ‘Pejabatku Tamanku jua’. Di sinilah kita mencari nafkah halal dan baik. Di sini umpama rumah dan keluarga kedua kita. Persahabatan yang kita bina di sini mudah-mudahan akan kekal abadi. Kita mohon di syurga Allah nanti kita juga akan berjiran, bertetangga dan berdekatan dengan semua rakan-rakan sejawat selamanya.
Sekali lagi penulis tegaskan bahawa sesungguhnya office politics itu suatu yang tak terelakkan dan ia akan terus menjadi sebahagian daripada keadaan yang terpaksa kita lalui setiap masa di mana-mana pejabat pun jua. Kita harus menanganinya secara tegas dan adil, penuh hikmah dan peduli pada semua. Oleh itu, penulis menyarankan agar kita memperbanyakkan bacaan mengenai gosip dan office politics agar kita mampu memahami, mengatasi dan menangani kesannya. Sebagai permulaan perhatikan tulisan-tulisan ringan yang dipetik dari internet yang dikepilkan bersama-sama dengan makalah ini.
Ya Allah ampunkanlah kami.
M. Anuar Tahir
Alor Setar/ 28 Januari 2010 bersamaan 13 Safar 1431H
KAHB, Kedah, Kedah Agro, office gossip, pengurusan, politik pejabat, Wacana Isnin